Rakyat Bijak Menilai, Mohd Hairi Komited Jadikan Larkin Bandar Mampan
JOHOR BAHRU, 4 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin, Mohd Hairi Mad Shah berkata masyarakat setempat dapat menilai sendiri dan beliau akan memastikan pembangunan dilaksanakan bagi menjadikan Bandar Larkin sebagai sebuah bandar yang mampan.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai hala tuju pembangunan kawasan berkenaan sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Saya yakin masyarakat setempat mampu membuat penilaian yang terbaik. Insya-Allah, jika diberikan mandat, saya akan terus memastikan agenda pembangunan dilaksanakan bagi menjadikan Bandar Larkin sebagai sebuah bandar yang lebih mampan dan sejahtera,” ujarnya.
Dalam masa sama, Mohd Hairi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri berkata menzahirkan keyakinan terhadap kekuatan jentera BN yang disifatkan terus bersemangat dan tidak gentar berdepan cabaran sepanjang tempoh kempen.
“Tanpa mendabik dada, kita terus berusaha dan yakin dengan gerak kerja yang dilaksanakan. Saya melihat jentera BN kekal bersemangat, tidak gentar berdepan cabaran pihak lawan dan akan terus bekerja sehingga tamat proses pengundian,” katanya.
Beliau turut menyeru seluruh jentera agar mengekalkan momentum kempen, memperkukuhkan gerak kerja mendekati rakyat serta memastikan setiap pengundi keluar menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian nanti.
Pada PRN 2022, Mohd Hairi memenangi DUN Larkin dengan majoriti 6,178 undi dalam saingan enam penjuru.
Kali ini, dalam misi mempertahan DUN tersebut beliau akan dicabar calon Pakatan Harapan (PH) Suhaizan Kayat serta Norsinah Abu daripada Parti Bersama Malaysia (BERSAMA). – UMNO Online
