Jangan Biar Hasutan 14 Hari Gadai Masa Depan Johor – Razlan Rafii

JOHOR BAHRU, 4 Julai – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii mengingatkan rakyat Johor supaya tidak terpengaruh dengan budaya politik menghasut yang kembali dimainkan pihak lawan sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN), sebaliknya membuat pilihan berdasarkan kestabilan dan rekod pentadbiran.

Menurut beliau, sejak minggu lalu pembangkang dilihat kembali mengulangi taktik lama dengan melemparkan pelbagai tuduhan dan kata-kata nista terhadap kepimpinan negeri, termasuk Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

“Saya lihat apabila Johor berada dalam keadaan tenang dan stabil, mereka mula memainkan politik hasutan. Orang Johor mahukan kestabilan, bukannya politik yang penuh fitnah dan kebencian.

“Mereka tidak ada idea baharu, sebaliknya hanya mengulang budaya menghasut serta menabur pelbagai tuduhan untuk mengelirukan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada UMNO Online berikutan kempen PRN Johor yang bermula 29 Jun lalu dan hari pengundian pada 11 Julai depan.

Mohd Razlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Seputeh turut menyifatkan tuduhan yang dilemparkan oleh seorang bekas menteri berhubung dakwaan pembaziran sebagai bukti pembangkang sanggup memainkan persepsi walaupun fakta yang dikemukakan sendiri bercelaru.

“Apabila hendak menuduh pun sampai tersalah formula, ini menunjukkan mereka hanya mahu mencetuskan persepsi dan menghasut rakyat tanpa berpandukan fakta yang tepat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan pengundi supaya tidak mempertaruhkan masa depan lima tahun negeri ini hanya kerana terpengaruh dengan kempen selama 14 hari.

“Jangan kita dengar janji manis dan hasutan yang dimainkan sepanjang 14 hari kempen sehingga sanggup memperjudikan masa depan lima tahun akan datang.

“Rakyat perlu membuat keputusan berdasarkan apa yang telah berlaku sepanjang lima tahun sebelum ini, termasuk pelbagai kesusahan yang dirasai rakyat akibat kegagalan kerajaan pusat menangani isu kos sara hidup, peluang pekerjaan dan pembangunan,” ujarnya.

Mengulas tindakan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang mempertikaikan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung tarikh pilihan raya, Mohd Razlan menyifatkan tindakan tersebut sebagai cubaan mencampuri urusan sebuah institusi bebas.

“SPR mempunyai pertimbangan profesional termasuk aspek logistik dan persiapan sebelum menetapkan sesuatu keputusan. Tidak wajar seorang menteri Kabinet mempertikaikan keputusan badan yang sepatutnya dihormati kebebasannya.

“Dahulu mereka bercakap soal keadilan dan menolak campur tangan politik, tetapi hari ini apabila keputusan tidak memihak kepada mereka, mereka pula yang menyerang SPR,” katanya.

Beliau menegaskan tindakan sedemikian hanya akan terus mengelirukan rakyat dan menyemarakkan politik kebencian yang sudah lama ditolak oleh masyarakat Johor.

“Rakyat Johor sudah muak dengan politik hasutan. Mereka mahukan kerajaan yang bekerja, membawa pembangunan dan memastikan negeri terus stabil, bukannya politik fitnah yang memecah-belahkan masyarakat,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO