Manifesto BN Johor Jadi Ikutan Kerana Sudah Dilaksana – Ahmad Zahid

KOTA TINGGI, 4 Julai – Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan manifesto BN Johor telah menjadi contoh dan ikutan kepada pihak lain kerana kandungannya bukan sekadar janji, malah sebahagian besar telah pun dilaksanakan sepanjang pentadbiran kerajaan negeri.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, pendekatan kerajaan BN Johor yang menyalurkan bantuan serta merangka dasar berdasarkan kumpulan sasaran membuktikan pentadbiran sedia ada benar-benar memahami keperluan rakyat tanpa meminggirkan mana-mana golongan.

Tegasnya, setiap bentuk bantuan dan peruntukan disalurkan mengikut kategori yang telah dikenal pasti bagi memastikan manfaatnya sampai kepada golongan yang tepat, sekali gus memenuhi kehendak rakyat secara lebih berkesan.

“Manifesto BN Johor ini menjadi contoh dan ikutan. Kita mempunyai kumpulan sasaran yang jelas, manakala belanjawan serta pelbagai bentuk bantuan diberikan mengikut kategori yang telah disegmentasikan.

“Pendekatan ini memastikan tiada mana-mana kumpulan yang tercicir sepanjang pentadbiran kerajaan Johor bagi penggal pertama. Ini merupakan sasaran yang tepat dan tidak ada satu kumpulan pun yang tertinggal dari pelaksanaan di bawah pentadbiran kerajaan Menteri Besar Johor, Datuk Onn  Hafiz Ghazi untuk penggal yang pertama.

“Tentunya bagi penggal kedua, manifesto yang dibentangkan lebih awal oleh Barisan Nasional (BN) membuktikan bahawa banyak tawaran yang kini diketengahkan pihak lain sebenarnya telah pun diumumkan dan dilaksanakan oleh kerajaan BN Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Program Aspirasi Usahawan Desa  GEMA@KKDW di Dataran Tun Sri Lanang, Jalan Niaga, Kampung Makam, Kota Tinggi, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pertahanan merangkap Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Pengarah KEMAS Datuk Mohd Hanafiah Man; Pengerusi KETENGAH Datuk Rozi Mamat; Calon BN bagi DUN Sedili Muszaide Makmor; Calon DUN Johor Lama Norlizah Noh serta peserta usahawan Kota Tinggi.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO melihat prestasi kukuh itu membuktikan Johor berada di landasan tepat sebagai antara pemacu utama ekonomi negara, hasil perancangan pembangunan yang berterusan dan dasar yang mesra pelabur.

“Saya melihat perkembangan ekonomi negeri Johor dengan pertumbuhan ekonomi negeri ini 8 peratus dan keseleruhan semua negerinya  puratanya 5.2 peratus. Insya Allah, sekiranya BN Johor menang besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini sudah pasti akan meningkat hasil ekonomi dan banyak agihan yang rakyat dapat manfaatnya,” katanya lagi.

Tambah Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi, kemenangan majoriti akan membolehkan kerajaan negeri mentadbir dengan lebih stabil serta melaksanakan agenda pembangunan secara lebih berkesan demi kesejahteraan rakyat.

“Kita mewajibkan beri kemenangan kepada calon-calon BN terutamanya di DUN Sedili dan Johor Lama serta kesemua 56 calon BN yang bertanding di negeri Johor. Berilah kemenangan kepada mereka supaya jumlah kerusi yang dimenangi dahulu melebihi dari  dahulu supaya kerajaan yang akan dibentuk menjadi lebih kuat.

“Apabila lebih kuat maka kestabilan politik lebih kukuh maka ramai pelabur luar yang akan datang ke negeri ini dan secara tidak langsung pengganguran dapat dikurangkan,” ujarnya.

Ujarnya lagi, ini kerana Menteri Besar Johor telah membawa banyak pelabur dan mengurangkan pengangguran serta mewujudkan peluang pekerjaan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO