“Status Pelan Induk JS-SEZ, Kenyataan PM Kelirukan Rakyat” – Onn Hafiz
JOHOR BAHRU, 4 Julai – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menjelaskan bahawa Dokumen Pelan Induk Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) merupakan dokumen milik Kerajaan Malaysia yang tidak memerlukan kelulusan Kerajaan Singapura, sebaliknya hanya melalui proses libat urus dan maklum balas yang menurut beliau telah pun selesai.
Beliau berkata, kenyataan yang dibuat oleh Perdana Menteri bahawa pelan induk tersebut masih perlu menunggu persetujuan pada Leaders’ Retreat serta memerlukan tandatangan Perdana Menteri dari kedua-dua negara adalah tidak tepat dan boleh mengelirukan rakyat.

Menurut Onn Hafiz, sebagai pemimpin nombor satu negara, setiap kenyataan yang dibuat sewajarnya berasaskan fakta yang tepat, khususnya melibatkan dasar dan inisiatif strategik yang mempunyai impak besar kepada keyakinan pelabur.
“Saya sedar saya bukan bertaraf Perdana Menteri. Namun dengan penuh hormat saya berpandangan, apabila seseorang berada di kedudukan sebagai pemimpin nombor satu negara, setiap kenyataan yang dibuat mesti berasaskan fakta yang tepat,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Beliau menjelaskan bahawa proses libat urus bersama pihak Singapura telah selesai dan kini hanya menunggu pelancaran rasmi oleh kementerian berkaitan atau pada majlis yang diputuskan oleh Kerajaan Persekutuan Malaysia.
Onn Hafiz menegaskan beliau membangkitkan perkara itu bukan untuk mencela atau menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya sebagai tanggungjawab Kerajaan Negeri memastikan setiap inisiatif strategik yang memberi manfaat kepada Johor dapat dilaksanakan mengikut jadual serta dipercepatkan.
Katanya, pelaksanaan pelan induk tersebut amat dinantikan oleh para pelabur kerana ia akan memberikan hala tuju yang lebih jelas kepada pembangunan JS-SEZ sekali gus meningkatkan keyakinan untuk terus melabur di negeri itu.
Beliau berkata, manfaat daripada pembangunan JS-SEZ bukan sahaja akan dinikmati oleh Bangsa Johor, malah turut memberi limpahan ekonomi kepada Kerajaan Persekutuan dan seluruh rakyat Malaysia.
Dalam masa sama, Onn Hafiz yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi DUN Machap berpandangan bahawa ketelitian dalam mengeluarkan kenyataan berkaitan projek strategik adalah penting bagi mengelakkan kekeliruan yang boleh menjejaskan keyakinan rakyat serta komuniti pelabur terhadap agenda pembangunan negara. – UMNO Online
