Skuad Sayang Terus Perkukuh, Tingkatkan Lagi Momentum Kempen BN Di Johor
Pontian, 4 Julai – Exco Wanita UMNO Malaysia yang juga Komandan Skuad Sayang 3K Kebangsaan, Hisham Suhaily Othman terus mempergiat gerak kerja kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan turun padang membantu calon-calon wanita Barisan Nasional (BN) menerusi pelbagai program kebajikan dan khidmat masyarakat.
Beliau berkata, Skuad Sayang 3K memberi tumpuan kepada pelaksanaan Program Ziarah Kasih di kawasan yang ditandingi calon wanita BN sebagai usaha mendekati rakyat, termasuk menziarahi pesakit terlantar bersama pasukan doktor.
Menurutnya, program berkenaan sebelum ini telah dilaksanakan di Penawar dan Johor Lama dengan lebih lapan pesakit disantuni, manakala hari ini diteruskan di DUN Pulai Sebatang bagi membantu kempen calon BN, Datuk Hazlina Aziz.
“Hari ini kita mengadakan Program Ziarah Kasih melibatkan empat pesakit terlantar bersama Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad. Minggu hadapan pula kita akan mengadakan program pemeriksaan kesihatan.
“Kita turun membantu calon-calon wanita bukan sekadar memberi sokongan moral, malah memastikan rakyat terus disantuni melalui pelbagai program kebajikan. Insya-Allah kita berharap ketiga-tiga calon wanita serta calon-calon BN yang lain akan diberikan kemenangan,” katanya.
Hisham Suhaily turut menjelaskan bahawa program kebajikan yang digerakkan Wanita UMNO bukan bersifat bermusim atau hanya dilaksanakan ketika pilihan raya, sebaliknya menjadi agenda berterusan di semua peringkat.
Katanya, selain Program Ziarah Kasih dan pemeriksaan kesihatan, Skuad Sayang 3K turut melaksanakan latihan keselamatan, pengurusan sukarelawan ketika Perhimpunan Agung UMNO, latihan menghadapi bencana banjir, bantuan kecemasan (first aid) serta pelbagai kursus persediaan bagi memastikan ahlinya sentiasa bersedia berkhidmat kepada masyarakat.
“Semua latihan ini bertujuan melahirkan sukarelawan yang cekap dan bersedia membantu masyarakat dalam apa jua keadaan, bukan hanya ketika musim pilihan raya tetapi sepanjang masa,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata sepanjang turun padang membantu kempen PRN Johor, beliau berpeluang menjelajah lebih separuh kawasan Parlimen di negeri ini dan teruja melihat pembangunan yang dilaksanakan di bawah pentadbiran Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Menurut beliau, pelbagai inisiatif kerajaan negeri seperti Bantuan Kasih Johor dan lain-lain dalam mengutamakan kebajikan rakyat serta memastikan pembangunan negeri terus diperkasakan.
“Saya melihat sendiri kesungguhan kerajaan negeri membantu rakyat melalui pelbagai inisiatif yang memberi manfaat secara langsung. Ini membuktikan kepimpinan Barisan Nasional sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.
“Sebab itu saya yakin sekiranya calon-calon BN diberi mandat dalam PRN ini, mereka akan bekerja bersungguh-sungguh dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di kawasan masing-masing.
“Jangan ragu-ragu untuk memilih BN. Rekod pentadbiran yang ada hari ini telah membuktikan kemampuan BN membawa pembangunan dan menjaga kebajikan rakyat. Pilihlah calon-calon BN kerana mereka adalah wakil rakyat yang akan terus bekerja dan berkhidmat untuk rakyat Johor,” katanya.- UMNO Online
