‘Aku Budak Benut’, ‘Benut Rumah Kita’ Terus Semarakkan Kempen BN PRN Johor

PONTIAN, 4 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut, Datuk Mohd Sumali Reduan menegaskan beliau tidak akan mengambil mudah sokongan rakyat walaupun kawasan tersebut mempunyai sejarah sokongan yang kuat terhadap Barisan Nasional (BN).

Menurut beliau, kempen perlu diteruskan secara menyeluruh bagi memastikan setiap lapisan masyarakat terus bersama perjuangan BN.

“Walaupun Benut dikenali sebagai antara kawasan yang kuat menyokong BN, itu bukan alasan untuk kita berhenti berkempen.

“Kita akan terus turun padang, menyantuni semua lapisan masyarakat tanpa mengira golongan muda atau warga emas, kaum Melayu, Cina, India mahupun pelbagai latar belakang masyarakat yang menjadi sebahagian daripada keluarga besar Benut,” katanya ketika berucap pada program santai bersama Dr AKmal Saleh, di sini, malam tadi.

Beliau berkata, kekuatan BN di Benut bukan hanya bergantung kepada jentera parti, sebaliknya lahir daripada hubungan erat yang sentiasa dipupuk bersama rakyat.

“Kita di sini sentiasa bersama masyarakat, mendengar denyut nadi rakyat dan turun membantu apabila diperlukan. Itulah kekuatan yang perlu kita terus pertahankan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd Sumali berkata slogan ‘Aku Budak Benut’ dan ‘Benut Rumah Kita’ yang kini sinonim dengan dirinya bukan sekadar tagline kempen, sebaliknya membawa mesej kebersamaan dan rasa memiliki dalam kalangan penduduk.

Katanya, pendekatan tersebut turut mendapat sambutan khususnya daripada golongan muda yang semakin dekat dengan perjuangan BN.

“’Aku Budak Benut’ dan ‘Benut Rumah Kita’ menggambarkan bahawa Benut adalah milik kita bersama. Saya mahu semua rakyat, khususnya anak-anak muda, merasakan mereka mempunyai tempat dalam perjuangan ini dan bersama-sama membangunkan Benut,” katanya.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO