Dr Akmal Persoal Sikap PH Terhadap SPR, Masih Berfikiran Seperti Pembangkang

PONTIAN, 4 Julai – Ketua Pemuda UMNO Malaysia yang juga Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), Datuk Dr Akmal Saleh mempersoalkan sikap pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang menurutnya masih gemar menyalahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setiap kali timbul isu berkaitan perjalanan pilihan raya.

Beliau berkata, ketika menjadi pembangkang dahulu, pemimpin PH sering menyalahkan kerajaan Barisan Nasional (BN) terhadap setiap keputusan yang dibuat oleh SPR, namun perkara sama masih berulang walaupun mereka kini berada dalam Kerajaan Persekutuan.

“Dulu apabila SPR menetapkan hari pengundian, mereka marah kerajaan dan pemimpin Barisan Nasional. Semua keputusan SPR dikaitkan dengan kerajaan ketika itu.

“Hari ini apabila mereka sudah menjadi kerajaan, masih lagi mempertikaikan keputusan SPR. Sedangkan mereka sendiri berada dalam kerajaan,” katanya ketika berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Dr Akmal turut menyentuh kenyataan seorang menteri yang mempersoalkan tarikh pengundian ditetapkan SPR, sambil menyifatkan tindakan itu tidak selari dengan kedudukan sebagai anggota pentadbiran kerajaan.

“Kalau sudah menjadi menteri dan ada persoalan mengenai keputusan SPR, bincanglah melalui saluran yang sewajarnya. Jangan membuat kenyataan seolah-olah masih berada di pihak pembangkang.

“Kadang-kadang rakyat pun keliru sama ada mereka ini menteri kerajaan atau masih berperanan sebagai pembangkang,” katanya.

Beliau berkata, rakyat Johor kini mempunyai peluang untuk membuat pilihan yang jelas pada hari pengundian dengan memberikan mandat kepada Barisan Nasional bagi meneruskan kestabilan dan pembangunan negeri.

“Pada 11 haribulan nanti, rakyat Johor boleh menentukan hala tuju negeri ini. Kita mahu memastikan BN terus diberi mandat mentadbir Johor dan menjadikan Pakatan Harapan sebagai pembangkang di negeri ini,” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO