Johor Titik Permulaan Gelombang Biru BN Ke Seluruh Negara – Ahmad Zahid
TEBRAU, 4 Julai – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi optimis Johor bakal menjadi titik permulaan kebangkitan semula BN menerusi gelombang biru yang diyakini mampu mengukuhkan kembali sokongan rakyat terhadap parti itu di peringkat nasional.
Beliau berkata kemenangan BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor amat penting bagi memberi mandat yang lebih kukuh kepada kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, sekali gus menjadi pemangkin kepada kebangkitan BN di seluruh negara.

“Jika kita ditolak pada 2018 dan kali kedua pada 2022, insya-Allah tanpa riak dan tanpa takbur, gelombang biru BN akan bermula di Johor ini. Apabila gelombang ini mula datang, Malaysia akan kita mantapkan semula sebagai Harimau Ekonomi Asia iaitu apabila rakyat memberikan mandat kepada Barisan Nasional,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Himpunan Anak Tiram, semalam bersempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan kehadiran calon DUN Tiram, Datuk Abdul Halim Suleiman dan juga Khairy Jamaluddin serta mantan ADUN Tiram, Azizul Bachok.
Menurut Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, sepanjang empat tahun pentadbiran Onn Hafiz sebagai Menteri Besar, beliau melihat sendiri kesungguhan pemimpin muda itu dalam mentadbir negeri serta menyantuni rakyat tanpa mengira latar belakang.
“DUN Tiram ini sangat dekat di hati saya dan saya percaya di hati pengundi Tiram tetap Barisan Nasional. Kemenangan di sini amat penting kerana kita mahu memberikan mandat yang lebih kukuh kepada Datuk Onn Hafiz untuk terus memimpin Johor.
“Kuasa melantik Menteri Besar adalah hak Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, namun mandat besar daripada rakyat akan memberikan kestabilan kepada pentadbiran negeri,” katanya.

Mengulas dakwaan kononnya pengundi perlu memilih parti yang sama dengan Kerajaan Persekutuan, beliau menegaskan BN sendiri merupakan sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan dan memainkan peranan penting dalam pembentukan kerajaan sedia ada.
“Ada yang berkempen kononnya pilih calon yang sama dengan kerajaan pusat, sedangkan Barisan Nasional juga adalah kerajaan di peringkat Persekutuan. Tanpa 30 Ahli Parlimen BN, kerajaan tidak akan mempunyai jumlah yang mencukupi untuk membentuk kerajaan. Ini bukan soal riak, tetapi hakikat politik negara,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menolak dakwaan bahawa BN mengkhianati mana-mana pihak, sebaliknya menegaskan parti itu sentiasa berpegang kepada prinsip demokrasi dan menghormati keputusan rakyat.
“Pada tahun 2018 apabila kita tewas, kita tidak turun ke jalanan, tidak melakukan demonstrasi atau membakar apa-apa. Kita menyerahkan kuasa dengan sebaik-baiknya mengikut proses demokrasi.
“Berkat dukungan akar umbi, saya juga tidak pernah tunduk kepada sebarang usaha untuk mengharamkan UMNO. Sebab itu kita mesti terus berjuang sehingga mencapai kemenangan,” ujarnya.
Ahmad Zahid turut menyifatkan semakin ramai penyokong yang sebelum ini tidak bersama BN kini kembali memberikan sokongan kerana melihat kestabilan serta keupayaan parti dalam mentadbir negara dan negeri.
Beliau turut menegaskan bahawa kekuatan BN hanya dapat dipertahankan menerusi perpaduan dan solidariti dalam kalangan seluruh keluarga besar parti. – UMNO Online
