‘Jangan Dipatuk Ular Dua Kali’ … BN Johor Tak Bergantung Pada Parti Lain

JOHOR BAHRU, 3 Julai – Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang, Datuk Tengku Azman Tengku Zainol Abidin menegaskan bahawa jentera UMNO dan Barisan Nasional (BN) di Johor berada dalam keadaan terbaik dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN), malah tidak memerlukan talian hayat daripada mana-mana parti lain.

Menurut beliau, moral jentera BN ketika ini amat tinggi dan kempen yang dijalankan jauh lebih tersusun serta meyakinkan berbanding parti lawan kerana calon-calon BN telah lama berkhidmat dan dekat dengan rakyat.

“Jentera UMNO di DUN Kempas dan seluruh Johor sudah siap siaga. Semangat mereka sangat tinggi. Kempen BN lebih mantap kerana calon-calon kita bukan muncul ketika pilihan raya, sebaliknya telah lama turun padang, menyantuni rakyat dan memahami keperluan masyarakat,” katanya.

Beliau turut menolak dakwaan bahawa Johor perlu mempunyai kerajaan negeri yang sama dengan kerajaan Persekutuan bagi memastikan pembangunan dapat diteruskan.

“Johor mempunyai acuan dan kekuatan tersendiri. Walaupun sebelum ini kerajaan negeri dan kerajaan pusat tidak sehaluan, pentadbiran BN tetap meneruskan usaha membantu rakyat. Menteri Besar sendiri sentiasa aktif melaksanakan pelbagai program yang memberi manfaat kepada rakyat Johor. Jadi mengapa perlu menukar kerajaan yang terbukti berkhidmat?”

Mengulas calon-calon pembangkang, beliau berkata rakyat perlu menilai rekod perkhidmatan, bukannya sekadar dipengaruhi sentimen atau janji politik.

“Kita tidak boleh memilih calon hanya kerana faktor usia atau populariti. Yang penting ialah rekod kerja, pengalaman dan kesungguhan berkhidmat. Ada wakil rakyat yang dipilih sebelum ini akhirnya hilang daripada kawasan dan rakyat langsung tidak merasai kehadiran mereka.”

Dalam masa sama, Tengku Azman membidas pihak yang masih memainkan naratif kononnya UMNO telah menjadi ‘UMDap’, sambil menyifatkan dakwaan itu sebagai propaganda politik yang sengaja diwujudkan bagi memburukkan imej parti.

“Naratif UMDap hanyalah tipu daya dan muslihat untuk menghasut ahli serta penyokong membenci UMNO. Hakikatnya BN membentuk kerajaan bersama Pakatan Harapan selepas tiada mana-mana gabungan memperoleh majoriti untuk menubuhkan kerajaan. Itu adalah penyelesaian kepada kemelut politik ketika itu, bukannya kerana UMNO mahu bergabung dengan Dap.”

Beliau turut mempersoalkan tindakan pihak tertentu yang terus menyerang UMNO menggunakan isu tersebut tetapi pada masa sama cuba menawarkan kerjasama kepada BN.

“Kalau benar mereka begitu menentang Dap, mengapa mereka sendiri tidak bertanding untuk menyaingi Dap? Jangan siang malam tuduh UMNO tetapi akhirnya datang melamar untuk bekerjasama.”

Sehubungan itu, beliau mengingatkan UMNO agar tidak mengulangi pengalaman lalu.

“Pesanan saya mudah, jangan patuk ular dua kali di tempat yang sama. UMNO sudah hampir 80 tahun membina kekuatan sendiri. Jentera kita lengkap, kita sudah bangkit semula dan mampu berdiri atas kaki sendiri.”

Beliau yakin rakyat Johor kini lebih matang dalam membuat penilaian dan akan terus memberikan mandat kepada BN berdasarkan rekod perkhidmatan serta kestabilan yang telah dibuktikan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO