Mandat Kukuh Perlu Untuk BN Teruskan Agenda Kebajikan Rakyat – Ramlee Bohani

PULAI, 3 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas, Datuk Ramlee Bohani menyeru jentera parti bekerja habis-habisan memastikan kemenangan bergaya BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi membolehkan agenda pembangunan dan kebajikan rakyat diteruskan.

Menurut beliau, mandat yang kukuh kepada BN penting bagi memastikan kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar dapat meneruskan rekod pencapaian cemerlang yang telah meletakkan Johor sebagai antara negeri paling pesat membangun di negara ini.

“Kita mahu menang dengan bergaya kerana kemenangan itu adalah amanah untuk terus membantu rakyat. Kejayaan Johor hari ini menjadi perhatian ramai, namun yang lebih penting ialah bagaimana hasil kemajuan itu terus dinikmati oleh rakyat,” katanya.

Ramlee berkata, pelbagai inisiatif yang dilaksanakan kerajaan negeri membuktikan komitmen BN bukan sekadar membuat janji, malah memastikan bantuan benar-benar sampai kepada rakyat yang memerlukan.

Ramlee berkata demikian ketika berucap pada Program Perjumpaan Jentera Barisan Nasional di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Denai, malam tadi.

Beliau menjelaskan bahawa Bantuan Kasih Johor (BKJ) merupakan antara bukti kesungguhan kerajaan negeri membantu rakyat secara berterusan dan bukannya program bermusim sempena pilihan raya.

“BKJ bukan gula-gula pilihan raya. Program ini telah dilaksanakan sehingga fasa keempat dan akan terus memberi manfaat kepada rakyat. Malah, saya meminta seluruh jentera membantu mengesan mereka yang tercicir supaya tiada golongan yang layak tercicir daripada menerima bantuan,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan seluruh jentera supaya terus mendekati rakyat dengan semangat kebersamaan dan memastikan setiap pengundi memahami rekod kejayaan kerajaan BN Johor yang telah membawa kestabilan politik, pertumbuhan ekonomi serta pelbagai manfaat kepada masyarakat.

Turut dihadir dalam program tersebut ialah Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed; Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang, Datuk Tengku Azman Tengku Zainol Abidin serta barisan kepimpinan UMNO Bahagian Pulai dan jentera Pusat Daerah Mengundi (PDM) termasuk masyarakat setempat. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO