Kejayaan Pahang Tambah Pendapatan Negeri Hasil Pentadbiran Cekap

KUALA LUMPUR, 3 Julai – Kejayaan Pahang menambah pendapatan negeri datang dari hasil pentadbiran yang cekap, kata Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Temerloh, Abdullah Zaki Fadzil.

Ujarnya, kutipan hasil yang melepasi RM700 juta dalam tempoh kurang enam bulan merupakan satu pencapaian yang cukup memberangsangkan.

“Apabila hasil negeri bertambah, rakyat yang akan menikmati manfaatnya. Alhamdulillah, prestasi kutipan hasil Negeri Pahang yang telah melepasi RM700 juta dalam tempoh kurang enam bulan merupakan satu pencapaian yang cukup memberangsangkan.

“Malah ini adalah prestasi terbaik bagi tempoh yang sama berbanding tahun-tahun sebelum ini.

“Kejayaan ini bukan berlaku secara kebetulan. Ia datang daripada pentadbiran yang lebih cekap, usaha mengurangkan ketirisan dan pengurusan kewangan yang berhemah,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Mengulas lanjut, beliau berharap agar momentum tersebut akan dikekalkan dan diterjemahkan kepada pembangunan yang boleh dirasai oleh rakyat.

“Apabila hasil negeri diurus dengan baik, kerajaan mempunyai lebih banyak ruang untuk membina infrastruktur, meningkatkan kemudahan awam dan meneruskan pelbagai bantuan serta program kebajikan kepada rakyat.

“Semoga momentum ini terus dikekalkan. Apa yang penting hasil negeri bukan sekadar angka di atas kertas tetapi diterjemahkan kepada pembangunan yang boleh dirasai oleh seluruh rakyat Pahang.

“Tahniah kepada seluruh jentera pentadbiran Kerajaan Negeri Pahang. Teruskan bekerja dengan amanah demi kemakmuran negeri dan kesejahteraan rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO