Tanjung Surat Ada Segalanya, Kini Masa Melonjak Lebih Jauh – Aznan Tamin
TANJUNG SURAT, 3 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Surat, Aznan Tamin berkata, potensi besar yang dimiliki kawasan ini dalam sektor perindustrian dan pelancongan akan terus diperkasakan bagi menjana pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan penduduk setempat.
Beliau yang juga penyandang DUN tersebut menyifatkan, kawasan terbabit mempunyai kelebihan strategik kerana menjadi lokasi kepada industri minyak dan gas selain memiliki produk pelancongan alam semula jadi yang mampu menarik lebih ramai pengunjung.

“DUN Tanjung Surat ini mempunyai pelbagai sektor ekonomi iaitu kawasan Rapid Oil and Gas dan pelancongan. Kita hendak mempopularkan kawasan ini terutamanya dalam ‘eco pelancongan’ Tanjung Surat yang mempunyai pantai-pantai yang indah sepanjang kawasan ini. Ia dapat memberi manfaat dan peningkatan ekonomi yang baik untuk penduduk setempat.
“Apabila adanya industri ‘oil and gas’, secara tidak langsung adanya peluang pekerjaan untuk anak muda. Anak muda di kawasan ini harus diberi perhatian dengan tambahan dan kemahiran supaya mereka dapat tinggal di kawasan sendiri,” katanya kepada UMNO Online.
Aznan yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri menjelaskan, kemudahan asas seperti lampu jalan terus dipertingkatkan hasil kerjasama antara Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kerajaan negeri bagi memastikan keselesaan serta keselamatan pengguna jalan raya.
“Infrastruktur juga harus diperkasakan seperti penyediaan lampu jalan. Setakat ini, pihak JKR dan kerajaan negeri telah menambah lampu di beberapa lokasi.
“Kita mahu memastikan kawasan pelancongan yang cantik ini dilengkapi pencahayaan yang baik kerana ia bukan sahaja meningkatkan aspek keselamatan, malah menyerlahkan lagi keindahan kawasan tersebut,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau juga Exco Pemuda UMNO Malaysia menjelaskan, khidmat kepada rakyat bukan sekadar tertumpu kepada pembangunan fizikal, malah merangkumi usaha berterusan membantu mereka yang berdepan pelbagai kesukaran hidup.

“Rakyat memerlukan bantuan seperti tempat tinggal dan sebagainya, itu adalah khidmat masyarakat yang selalu dilakukannya agar rakyat dikawasan ini selamat dan selesa di DUN ini.
“Pendekatan turun padang dan menyantuni rakyat secara berterusan membolehkan setiap permasalahan dikenal pasti dengan lebih cepat sebelum tindakan sewajarnya diambil,” katanya lagi.
Ujarnya, usaha membantu golongan yang memerlukan akan terus diperkasakan supaya penduduk di kawasan DUN ini dapat menikmati kehidupan yang lebih selamat, selesa dan sejahtera. – UMNO Online
