Tolak Parti Lain, Pilih BN Demi Kemajuan Johor – Noraini Ahmad

PENAWAR, 3 Julai – Ketua Wanita Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menyeru seluruh rakyat Johor agar memanfaatkan peluang pada pilihan raya kali ini dengan memberikan sokongan padu kepada BN demi memastikan kesinambungan pembangunan dan kestabilan negeri terus terpelihara.

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi Malaysia berkata, pilihan raya ini merupakan medan terbaik buat rakyat untuk menentukan hala tuju Johor dengan memilih sebuah kerajaan yang mempunyai rekod, pengalaman serta kemampuan mentadbir secara berkesan.

Menurutnya, seluruh pengundi di negeri ini perlu membuat pilihan yang tepat dengan menolak parti-parti lain dan memberikan mandat kepada BN bagi memastikan agenda pembangunan dapat diteruskan tanpa sebarang gangguan.

“Inilah masa dan peluang yang sangat terbaik untuk semua pengundi-pengundi di negeri Johor ini dengan memberi sokongan kepada BN dengan menolak parti-parti lain.

“Kita percaya, hanya BN sajalah yang boleh membuat apa-apa perancangan yang memberi manfaat kepada rakyat terutamanya rakyat negeri Johor.

“Saya memohon kepada seluruh rakyat dan pengundi negeri Johor, memberikan peluang kepada BN didalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini,” katanya kepada UMNO Online.

Turut hadir calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penawar Fauziah Misri; Exco-exco Wanita UMNO dan jentera-jentera parti.

Mengulas lanjut, Noraini yang juga Ketua Wanita UMNO Malaysia berkata, bagi calon wanita yang bertanding di PRN Johor kali ini khususnya di zon selatan menerima sambutan yang amat menggalakkan.

“Saya melihat calon-calon yang diketengahkan oleh BN, terutamanya di zon selatan iaitu DUN Johor Lama, Penawar dan Endau. Sejak hari berkempen kehadiran mereka diterima oleh pengundi-pengundi dan mereka merasa gembira bahawa wakil rakyat mereka selama ini kembali dicalonkan semula.

“Ia jelas menunjukkan satu tanda yang sangat positif untuk BN dan selepas ini kami akan melawat calon-calon Wanita BN di DUN lain-lain,” katanya lagi.

Seterusnya kata Ahli Parlimen Parit Sulong itu, setiap komitmen yang digariskan dalam manifesto itu dirancang secara teliti agar mampu dilaksanakan dan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat serta pembangunan negeri.

“Manifesto BN Johor ini mengambil kira realiti dan kemampuan kerajaan. Ia bukan sekadar himpunan janji tanpa arah, sebaliknya menawarkan pelan tindakan yang jelas dan boleh dilaksanakan.

“Ia juga memberikan sinar harapan baharu kepada para pengundi serta seluruh rakyat Johor bahawa masa depan negeri ini akan terus dipacu dengan dasar yang stabil, berkesan dan berpaksikan kepentingan rakyat,” ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO