ADUN Lenggeng Tinjau Aduan Jalan Rosak, Mohon Tindakan Segera Pihak Berkaitan
KUALA LUMPUR, 2 Julai – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Asna Amin berbesar hati turun padang meninjau aduan berkaitan keadaan jalan rosak di Kampung Pantai susulan rungutan penduduk setempat.
Berdasarkan pemerhatian beliau berkata keadaan jalan berkenaan didapati rosak dipercayai berpunca daripada kerja-kerja kontraktor yang tidak disiapkan dengan sempurna.
“Saya telah turun padang meninjau keadaan jalan di Kampung Pantai susulan aduan yang diterima daripada penduduk setempat. Keadaan jalan didapati rosak dipercayai berpunca daripada kerja-kerja kontraktor yang tidak disiapkan dengan sempurna dan dibiarkan begitu sahaja.
“Akibat daripada keadaan tersebut, beberapa rumah penduduk turut terjejas selain longkang mengalami kerosakan yang memberi kesan kepada keselamatan
dan keselesaan penduduk sekitar.
“Menurut penduduk, aduan telah dikemukakan sejak sekian lama namun sehingga kini masih tiada tindakan susulan daripada pihak berkaitan.
“Sehubungan itu, saya memohon agar pihak berkenaan mengambil tindakan segera dengan membaik pulih semula jalan serta kerosakan longkang yang terlibat demi memastikan keselamatan, kesejahteraan dan kebajikan penduduk Kampung Pantai sentiasa terpelihara,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Dalam perkembangan berasingan, Asna yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Seremban turut hadir ke Program Penyerahan Sijil Penyertaan Kelas Renang anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan yang melibatkan golongan B40 di kawasan Lenggeng.
Katanya, program berkenaan bukan sahaja memberi pendedahan kemahiran asas berenang, malah penting dalam aspek keselamatan dan galakan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.
“Tahniah diucapkan kepada semua peserta yang berjaya menamatkan kursus ini. Semoga ilmu dan kemahiran berenang yang diperoleh bukan sahaja meningkatkan keyakinan diri, malah menjadi bekalan penting dalam aspek keselamatan serta menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.
“Semoga lebih banyak program pembangunan komuniti seperti ini dapat diteruskan demi melahirkan masyarakat yang aktif, berkemahiran dan sejahtera,” ujar beliau. – UMNO Online
