Sukan Satukan Rakyat, Ab Rauf Santai Bersama Warga Tanjung Bidara Tonton Piala Dunia

KUALA LUMPUR, 2 Julai – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berbesar hati meluangkan masa bersama warga Tanjung Bidara menyaksikan perlawanan Piala Dunia 2026 di layar gergasi awal pagi tadi.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan tersebut berkata program santai berkenaan bukan sahaja merapatkan hubungan masyarakat, malah membuktikan sukan mampu menjadi medium terbaik dalam menyatukan rakyat tanpa mengira latar belakang dan usia.

“Benarlah kata orang sukan menyatukan rakyat! Terima kasih kepada warga Tanjung Bidara yang sporting meluangkan masa bersama-sama menyaksikan aksi Piala Dunia 2026 di layar gergasi antara England menentang DR Congo di Villa D’Acqua Resort, awal pagi ini.

“Walaupun perlawanan penuh debaran itu berakhir dengan kemenangan England untuk mara ke kelompok 16 pasukan terbaik, apa yang lebih bermakna ialah kemeriahan dan semangat kesukanan yang kita kongsikan bersama.

“Inilah indahnya sukan. Berbeza latar belakang, berbeza usia, namun apabila bersukan, kita dapat duduk bersama bagai satu keluarga. Terima kasih semua. Semoga semangat perpaduan ini terus subur dalam diri rakyat Melaka. Inilah aspirasi sebenar Melaka Sayang Rakyat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Sementara itu, menerusi hantaran berbeza, Ab Rauf turut berkongsi mengenai Mesyuarat EXCO yang dipengerusikannya sebagai usaha memperkasakan pentadbiran serta memacu pembangunan negeri.

Antara fokus fokus utama dalam mesyuarat tersebut ialah memacu pelaburan dan pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET)

“Setiap langkah yang diatur adalah demi memastikan kesejahteraan rakyat Melaka sentiasa terbela.

“Gerak kerja hari ini dimulakan dengan mempengerusikan Mesyuarat Exco dan Mesyuarat Jawatankuasa Perancangan Ekonomi bagi memperkasakan pentadbiran serta memacu pelaburan dan pembangunan TVET negeri.

“Jadual kerja kemudiannya diteruskan dengan tinjauan mesra ke Putra Specialist Hospital bagi melihat fasiliti perubatan terkini, di samping menyantuni jururawat dan mendoakan kesembuhan para pesakit,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO