Jangan Kelirukan Rakyat Dengan Naratif Lapuk Dap – Muszaide Makmor

SEDILI, 2 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sedili, Muszaide Makmor membidas kenyataan pemimpin Dap yang mendakwa kemenangan BN di Johor bertujuan membebaskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, sebagai naratif politik yang tidak berasas dan cuba mengelirukan pengundi.

Ujarnya, rakyat Johor perlu bijak menilai setiap dakwaan yang dimainkan sepanjang kempen kerana pilihan raya negeri bukan mengenai individu tertentu, sebaliknya berkisar kepada masa depan Johor dan kesejahteraan rakyat.

“Tuduhan pemimpin Dap yang kononnya kemenangan BN di negeri Johor adalah untuk membebaskan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak. Naratif yang digunakan oleh pemimpin tersebut adalah salah dan pengundi harus bijak menilainya.

“Ini adalah bagi memastikan Johor ini terus dipegang oleh pemimpin yang mempunyai wawasan ke hadapan. Kewibawaan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz amat terserlah walaupun pertama kali menjawat jawatan tersebut telah membawa banyak perubahan terutamanya memastikan kemakmuran, kestabilan politik dan ekonomi terus diperkukuhkan.

“Tujuannya adalah akan diteruskan lagi bagi memastikan pelabur dapat melabur ke negeri ini. Walaupun sebahagian cukai yang diberi oleh pelabur-pelabur tersebut akan diserahkan kepada kerajaan pusat namun kerajaan negeri ada limpahannya,” katanya kepada UMNO Online.

Muszaide yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Tinggi menjelaskan bahawa kestabilan politik di negeri Johor amat penting dan rakyat telah melihat sepanjang UMNO dan BN memimpin negeri ini.

“Kita nampak kestabilan politik ini penting, ramai pelabur dari luar datang dan melabur di negeri ini kerana mereka yakin dengan politik stabil yang dibawa oleh kerajaan negeri. Pengurusan dan pentadbiran yang cekap yang memainkan peranan dengan Menteri Besar yang bertanggungjawab.

“Dengan misi dan visi yang digariskan dalam Maju Johor 2030 ini tidak mungkin akan tercapai dengan baik sekiranya kerajaan negeri tidak stabil.

Kestabilan yang memainkan peranan penting, dan sekiranya tidak stabil, tidak mustahil negeri akan menjadi negeri terkebelakang seperti yang lalu dan tidak boleh mencapai ‘target’ yang ditentukan oleh negeri.

“Impian UMNO dan BN adalah menjadikan negeri Johor semakin makmur, berdaya saing dengan negeri-negeri lain yang lebih maju dari Johor,” katanya lagi.

Dalam masa sama Muszaidee menzahirkan penghargaan kepada semua kepimpinan yang selalu membantu.

“Alhamdulillah… saya berterima kasih kepada kepimpinan yang sedia ada yang sentiasa membantu apa jua dalam menangani kos kehidupan rakyat dengan baik. Saya mewakili parti BN untuk penggal kedua ini dan akan pastikan terus bekerja seperti mana penggal pertama yang pernah dilakukan seperti menyantuni rakyat DUN Sedili.

Tambah Muszaidee, sokongan padu rakyat amat penting bagi mempercepatkan pelaksanaan pelbagai keperluan asas yang sekian lama dinantikan penduduk, termasuk pembinaan stesen minyak di kawasan berkenaan.

“Insya Allah, apa yang dibelenggu oleh rakyat Sedili ini seperti stesyen minyak akan dapat dilaksanakan dengan secepatnya dan telah berbincang dengan syarikat yang membuka stesyen minyak ini,” ujarnya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO