Rakyat Johor Bijak Memilih, Sokong Onn Hafiz Teruskan Maju Johor – Jailani Johari

MERSING, 2 Julai – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Jailani Johari menegaskan keyakinannya bahawa rakyat Johor akan terus bersama Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kerana percaya masyarakat di negeri ini mampu membezakan antara kepimpinan yang berwibawa dengan pihak yang hanya menawarkan janji.

Menurut beliau, rakyat Johor terkenal sebagai pengundi yang matang dan bijak membuat keputusan demi memastikan masa depan negeri terus terpelihara.

“Saya nampak rakyat Johor ini bijak. Mereka tahu menilai mana yang permata dan mana yang hanya kaca. Sebab itu saya penuh yakin BN akan memperoleh sokongan yang lebih besar pada pilihan raya kali ini. Insya-Allah, kita sama-sama berdoa agar diberikan kemenangan.

“Sambutan yang diterima daripada masyarakat terhadap manifesto BN membuktikan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan kerajaan negeri semakin kukuh.

“Berilah peluang kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk meneruskan kesinambungan pembangunan dan pentadbiran yang telah dimulakan sejak penggal lalu,” katanya kepada UMNO Online.

Jailani turut menegaskan bahawa kekuatan BN terletak pada rekod prestasinya yang sentiasa menunaikan komitmen kepada rakyat.

“BN bukan sekadar menabur janji. Apa yang kita nyatakan dalam manifesto akan kita usahakan dan laksanakan. Kita bukan ‘janji capati’, sebaliknya kita berpegang kepada prinsip bahawa setiap janji mesti ditepati demi kesejahteraan rakyat,” ujarnya.

Seterusnya kata Jailani lagi, melihat calon-calon BN menunjukkan perkembangan yang positif sepanjang tempoh kempen.

“Saya nampak rata-rata sokongan diberikan kepada calon kita dan suasananya cukup positif serta memberansangkan.

“Rakyat mahu mendengar apa yang calon kita ingin utarakan, namun pada masa sama mereka sudah mengetahui rekod BN yang telah membawa pelbagai kemajuan dan pembangunan kepada rakyat,” jelasnya.

Beliau turut mengingatkan seluruh jentera agar melupakan perbezaan lama, terus bersatu, bekerja sebagai satu pasukan dan mengekalkan momentum positif sehingga hari pengundian pada 11 Julai.

“Apa yang penting sekarang ialah kita bersatu hati, bekerja kuat dan memastikan BN kembali diberi mandat demi meneruskan pembangunan Endau dan Tenggaroh,” tegasnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO