UMNO/BN Terbuka Terima Sokongan, Rekod Ekonomi Johor Bukti Keupayaan
KUALA LUMPUR, 1 Julai – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan UMNO/Barisan Nasional (BN) mengalu-alukan sokongan serta arahan kepimpinan PAS kepada penyokong mereka untuk mengundi calon-calon BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Beliau berkata, dalam sistem demokrasi, setiap individu mempunyai hak dan kebebasan untuk memilih serta menyokong mana-mana calon yang diyakini mampu membawa kesejahteraan kepada rakyat.
“UMNO-BN mengalu-alukan sokongan dan arahan kepimpinan Pas kepada penyokong mereka agar memberi undi kepada calon-calon BN di Johor. Cuma, kenapa pula pimpinan parti-parti Pakatan Harapan (PH) tersentap dan meroyan?” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Menurut beliau, UMNO/BN sentiasa bersikap terbuka menerima sokongan daripada mana-mana pihak termasuk ahli dan penyokong parti-parti lawan.
“Sudah tentulah UMNO/BN amat terbuka dan mengalu-alukan sokongan sesiapa sahaja termasuk ahli dan penyokong parti-parti lawan. Namun, fokus kami adalah mendapatkan sokongan seluruh rakyat, sama ada yang berparti mahupun tidak, dengan memperlihatkan pelbagai kehebatan dan kejayaan Kerajaan Negeri Johor di bawah kepimpinan Datuk Onn Hafiz Ghazi sepanjang empat tahun menerajui negeri ini,” katanya.
Dalam hantaran berasingan bertajuk Dr Asyraf turut mengetengahkan pencapaian ekonomi Johor sebagai bukti keupayaan pentadbiran BN dalam memacu pembangunan negeri.
Beliau berkata, terdapat perbezaan yang jelas antara prestasi ekonomi Johor ketika pentadbiran Pakatan Harapan selepas mengambil alih kerajaan pada 2018 berbanding pentadbiran BN yang kembali diberi mandat mentadbir negeri pada 2022.
Menurutnya, ketika BN mentadbir Johor sebelum 2018, negeri itu secara konsisten merekodkan pertumbuhan ekonomi tertinggi di Malaysia.

“Namun selepas Pakatan Harapan mengambil alih pada 2018, Johor merosot ke tangga keenam dengan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 4.7 peratus.
“Alhamdulillah, selepas BN kembali mendapat kepercayaan rakyat pada 2022, di bawah kepimpinan Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi, Johor kembali mencatat pertumbuhan ekonomi sebanyak 8.0 peratus sekali gus menjadi negeri dengan pertumbuhan ekonomi tertinggi di Malaysia,” katanya.
Tambah beliau, rekod tersebut membuktikan kestabilan politik serta pentadbiran yang berkesan di bawah kerajaan BN menjadi asas kepada kemajuan ekonomi negeri dan kesejahteraan rakyat.
Beliau percaya pencapaian yang telah direkodkan itu mampu menjadi pertimbangan rakyat Johor untuk terus memberikan mandat kepada Barisan Nasional pada PRN kali ini bagi memastikan kesinambungan pembangunan dan kemakmuran negeri. – UMNO Online
