‘Jangan Jadi Badut Politik… Amanah Yang Semakin Lemas, Bukan UMNO’ – Safwan
KUALA LUMPUR, 1 Julai – Ketua Penerangan Pemuda UMNO Negeri Kedah, Mohd Safwan Jaafar menyifatkan kenyataan Mahfuz Omar yang mendakwa UMNO semakin cemas dan lemas sebagai propaganda politik yang tidak berasaskan fakta.
Beliau yang juga Ketua Pergerakkan Pemuda UMNO Alor Setar berkata sebaliknya ia hanya mencerminkan kegagalan Mahfuz mengetengahkan isu yang lebih signifikan sehingga memilih menyerang UMNO dengan retorik semata-mata.
“Satu lagi siri propaganda murahan daripada seorang ahli politik yang semakin ketandusan isu dan gagal menarik perhatian rakyat.
“Apabila tiada kejayaan untuk dibanggakan, Mahfuz memilih menyerang UMNO dengan retorik kosong. Malangnya, rakyat hari ini sudah bijak menilai siapa yang benar-benar bekerja dan siapa yang hanya pandai mencipta persepsi,” katanya menerusi satu kenyataan.
Safwan menambah Mahfuz seharusnya menilai kedudukan Amanah terlebih dahulu sebelum mengkritik parti lain.
Katanya, ini kerana parti itu kini dilihat semakin kehilangan identiti politik serta bergantung kepada kerjasama dengan parti lain untuk terus kekal relevan dalam landskap politik negara.
“Mahfuz sepatutnya bermuhasabah sebelum menuding jari kepada orang lain. Amanah sendiri semakin hilang identiti politik, gagal menjadi kuasa dominan, dan terus bergantung kepada parti lain untuk terus relevan. Tanpa ‘payung’ gabungan, apakah kekuatan sebenar Amanah hari ini?
“Lebih ironik, individu yang suatu ketika dahulu lantang bersama Pas kini begitu ghairah menyerang Pas semata-mata kerana percaturan politik. Pendirian yang berubah mengikut angin inilah yang menyebabkan rakyat semakin sukar mempercayai kredibiliti Mahfuz dan Amanah.
“Mahfuz juga wajar menjawab persoalan rakyat mengenai prestasi Amanah dalam kerajaan. Apa pembaharuan besar yang telah dibawa? Apa penyelesaian konkrit terhadap isu kos sara hidup, peluang pekerjaan dan kebajikan rakyat?” soal beliau.
Dalam masa sama, beliau menegaskan UMNO tidak perlu bergantung kepada mana-mana pihak untuk kekal relevan kerana kerjasama politik dalam sistem demokrasi merupakan amalan biasa yang bertujuan memastikan kestabilan negara dan kebajikan rakyat.
“UMNO tidak perlu mengemis kepada sesiapa. Dalam demokrasi, perbincangan dan kerjasama politik adalah perkara biasa demi kestabilan negara dan kebajikan rakyat. Yang sebenarnya terdesak ialah mereka yang setiap hari menjadikan UMNO sebagai modal untuk kekal mendapat perhatian media kerana sudah kehabisan idea dan pengaruh.
“Jika benar Amanah begitu kuat dan mendapat sokongan padu rakyat, buktikan di medan demokrasi dengan prestasi dan kepercayaan rakyat, bukannya dengan menyerang pihak lain setiap kali berdepan krisis keyakinan.
“Hakikatnya, semakin kuat UMNO bangkit dan mendapat semula kepercayaan rakyat, semakin gelabah pihak yang selama ini bergantung kepada politik persepsi. Sebab itu mereka terus menjadikan UMNO sebagai sasaran,” katanya lagi. – UMNO Online
