BN Pilih Kempen Berhemah, Fokus Khidmat Kepada Rakyat – Sumali
PONTIAN, 1 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut, Datuk Mohd Sumali Reduan menegaskan pendekatan kempen secara bersemuka dan berhemah lebih berkesan dalam meyakinkan pengundi berbanding budaya menyerang atau memburukkan pihak lawan.
Beliau berkata, sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, BN memilih untuk mendekati rakyat dengan menerangkan rekod pencapaian, dasar serta perancangan yang akan dilaksanakan demi kesejahteraan masyarakat.
“Kita turun bertemu rakyat, berbual dan mendengar sendiri pandangan mereka. Pendekatan seperti ini lebih meyakinkan kerana kita menerangkan kebaikan parti serta calon, bukannya memburukkan parti lain.
“Saya sendiri tidak pernah menyentuh kelemahan parti lain. Fokus saya adalah menjelaskan kekuatan BN berdasarkan pengalaman mentadbir dan mengurus negeri demi manfaat rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan program walkabout di Pasar Malam Benut sempena kempen PRN Johor.
Menurut beliau, suasana santai di pasar malam turut memberi peluang kepada beliau beramah mesra dengan peniaga dan pengunjung, di samping mendengar sendiri isu serta harapan yang dibangkitkan oleh masyarakat setempat.
Mohd Sumali berkata, pendekatan berteraskan fakta, rekod pencapaian dan khidmat kepada rakyat akan terus menjadi pegangan BN sepanjang kempen bagi meraih keyakinan pengundi menjelang hari pengundian.
Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 akan berlangsung pada 11 Julai 2026, manakala pengundian awal ditetapkan pada 7 Julai ini.- UMNO Online
