Rengit perlukan mandat BN untuk terus berkhidmat – Mohd Zaidi

BATU PAHAT, 1 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit, Mohd Zaidi Japar mengakui terharu dengan semangat luar biasa yang dipamerkan oleh seluruh jentera parti sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menurut beliau, komitmen serta kerjasama berpasukan yang ditunjukkan menjadi pembakar semangat untuk terus mendekati rakyat dan menyampaikan aspirasi BN di setiap pelosok kawasan.

“Saya amat terharu melihat semangat serta kerjasama berpasukan yang ditunjukkan oleh seluruh jentera. Pengorbanan mereka memberikan kekuatan kepada saya untuk terus berjuang demi rakyat Rengit.

“Mana mungkin saya tidak memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat sekiranya diberikan amanah. Jika ingin melihat bagaimana saya berkhidmat, berilah peluang dan berilah sokongan kepada Barisan Nasional,” katanya ketika berkempen di DUN Rengit.

Beliau turut merayu kepada seluruh pengundi agar memberikan sokongan padu kepada BN bagi memastikan kemenangan sekali gus membolehkan agenda pembangunan dan kebajikan rakyat diteruskan.

“Saya merayu kepada semua pengundi, tolonglah berikan sokongan kepada Barisan Nasional agar kita dapat mencapai kemenangan demi masa depan Rengit yang lebih baik,” katanya.

Mohd Zaidi turut menghargai kehadiran serta sokongan mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit yang sentiasa bersama-sama membantu sepanjang kempen, sekali gus mencerminkan semangat perpaduan dan kesepakatan dalam keluarga besar BN.

Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 akan diadakan pada 11 Julai 2026, membabitkan kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Proses penamaan calon telah berlangsung pada 27 Jun lalu, manakala pengundian awal ditetapkan pada 7 Julai 2026. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO