Dap Terus Main Politik Ugutan – Mohd Razlan

KUALA LUMPUR, 30 Jun – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii menyifatkan tindakan pemimpin Dap yang berulang kali mengeluarkan ugutan berkaitan kedudukan dalam kerajaan sebagai bukti parti itu lebih mengutamakan kepentingan politik berbanding kebajikan rakyat.

Menurut beliau, selepas kekalahan Dap pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sebelum ini, parti berkenaan pernah mengugut untuk keluar daripada kerajaan sekiranya agenda reformasi tidak dilaksanakan, namun akhirnya isu tersebut senyap apabila kepentingan mereka dipenuhi.

“Ramai melihat apa yang diperjuangkan Dap bukan lagi soal reformasi, tetapi lebih kepada perebutan jawatan Menteri dan lantikan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Apabila kepentingan mereka dipenuhi, suara mengenai reformasi juga terus lenyap,” katanya.

Razlan berkata, Dap juga dilihat enggan mengakui kelemahan sendiri apabila kekalahan di Sabah dijadikan alasan untuk menyalahkan kerajaan, sedangkan mereka sendiri merupakan sebahagian daripada pentadbiran sebagai anggota Kabinet.

Beliau turut membidas kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang dikatakan meletakkan syarat akan melepaskan jawatan sekiranya Barisan Nasional (BN) mencatat kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Sikap suka mengugut dan merajuk seperti ini hanya memperlihatkan kematangan politik yang dipersoalkan. Rakyat hari ini semakin bijak menilai siapa yang benar-benar ikhlas berkhidmat dan siapa yang lebih mementingkan kepentingan peribadi,” ujarnya.

Tambah beliau, pelbagai isu yang sebelum ini menjadi perjuangan Dap seperti kes Teo Beng Hock serta isu-isu melibatkan ekonomi dan peniaga juga didakwa gagal diberikan perhatian sewajarnya.

Jelas Razlan lagi, rakyat kini semakin sedar bahawa retorik politik semata-mata tidak lagi mampu meraih sokongan, sebaliknya mereka mahukan pemimpin yang konsisten menunaikan janji dan benar-benar berkhidmat demi kepentingan negara serta rakyat. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO