Ahmad Zahid Pengerusikan Mesyuarat Pengurusan Pelarian, Tegas Keselamatan Negara Jadi Keutamaan

KUALA LUMPUR, 30 Jun – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan pengurusan pelarian di Malaysia perlu dilaksanakan secara lebih sistematik, teratur dan selaras dengan kepentingan negara, khususnya dalam memastikan aspek keselamatan serta kedaulatan negara sentiasa terpelihara.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi Pengurusan Pelarian dan Pemohon Suaka (JTPPPS) kali ke-6 yang meneliti pelaksanaan dasar serta mekanisme pengurusan pelarian di negara ini.

Menurut beliau, dunia ketika ini berdepan krisis pelarian yang semakin mencabar apabila lebih 122 juta individu dipindahkan secara paksa akibat konflik dan ketidakstabilan, sekali gus menuntut setiap negara mempunyai dasar yang jelas serta mekanisme pengurusan yang berkesan.

“Malaysia perlu mempunyai pendekatan yang mampu mengimbangi tanggungjawab kemanusiaan dengan mengutamakan aspek keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya.

Dalam mesyuarat tersebut, Ahmad Zahid berkata pelaksanaan Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) turut diperhalusi, selain membincangkan penyelarasan garis panduan berkaitan akses kepada pendidikan dan perkhidmatan kesihatan supaya pelaksanaannya lebih teratur, berlandaskan undang-undang serta mudah diselaraskan oleh semua agensi berkaitan.

Beliau turut menegaskan bahawa pengurusan pelarian bukan sekadar isu pentadbiran, sebaliknya melibatkan usaha memelihara keselamatan negara dan ketenteraman awam.

“Setiap keputusan yang diambil perlu sentiasa berpaksikan kepentingan rakyat serta kedaulatan Malaysia,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO