Puteri UMNO Negeri Sembilan Perhebat Gerak Kerja Santuni Anak Muda Menjelang PRN
JEMPOL, 1 Julai – Pergerakan Puteri UMNO Negeri Sembilan akan terus memperhebat gerak kerja menyantuni golongan muda, khususnya wanita muda, bagi memastikan mesej dan aspirasi Barisan Nasional (BN) dapat disampaikan secara lebih berkesan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).
Ketuanya, Hazratul Ilani Misdar berkata, amanat yang disampaikan Presiden UMNO kepada jentera parti pada perjumpaan Ahad lalu menjadi pembakar semangat untuk terus bekerja mendekati rakyat, terutama generasi muda yang menjadi antara kelompok penting dalam menentukan kemenangan BN.

“Pesanan Presiden amat jelas, kita perlu terus turun padang mendekati rakyat. Puteri UMNO Negeri Sembilan akan mempergiat gerak kerja menyantuni anak-anak muda, khususnya wanita muda, supaya mereka memahami kepentingan membuat pilihan yang tepat demi masa depan negeri,” katanya.
Beliau berkata, gerak kerja UMNO Negeri Sembilan bukan hanya bermula selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), sebaliknya telah digerakkan lebih awal sehingga ke peringkat cawangan dan Pusat Daerah Mengundi (PDM).
Menurutnya, pendekatan turun padang dan mendekati golongan muda akan terus diperkasakan bagi memberi penerangan mengenai dasar serta perjuangan parti, di samping mendengar sendiri pandangan dan keperluan mereka.
“Kita sudah bergerak lebih awal di akar umbi dan kini fokus kita adalah memastikan anak-anak muda terus disantuni. Puteri akan berada bersama mereka, mendengar suara mereka dan membawa mesej bahawa masa depan Negeri Sembilan perlu dibina dengan kestabilan serta kepimpinan yang berpengalaman,” ujarnya.
Dalam masa sama, Hazratul Ilani turut menyeru anak-anak muda Negeri Sembilan yang berada di luar kawasan agar pulang mengundi pada 1 Ogos nanti.
“Kepada anak-anak muda, khususnya wanita muda yang berada di luar Negeri Sembilan, pulanglah mengundi. Tunaikan tanggungjawab anda dan bersama-sama menentukan masa depan negeri dengan memberikan sokongan kepada Barisan Nasional,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos 2026, manakala hari penamaan calon berlangsung pada 19 Julai 2026. – UMNO Online
