Kekuatan Sebenar Malaysia Terletak Pada Kualiti Modal Insan – Shahar
KUALA LUMPUR, 30 Jun – Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd Shahar Abdullah berpandangan bahawa kekuatan sebenar Malaysia terletak pada kualiti modal insan.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau berpendirian bahawa masa depan negara bergantung kepada siapa yang membinanya.

“Masa depan Malaysia tidak ditentukan oleh apa yang dimiliki, tetapi oleh siapa yang membinanya.
“Dalam ucapan saya di program Youth, Economy and Sustainability (Y.E.S.) Malaysia 2040 di Universiti Malaysia Sabah (UMS), saya menegaskan bahawa kekuatan sebenar Malaysia terletak pada kualiti modal insan.
“Dengan majoriti rakyat berusia di bawah 40 tahun, generasi muda merupakan aset terbesar negara,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Paya Besar turut mengakui perubahan demografi menyebabkan semua pihak perlu memberi keutamaan kepada pembangunan pendidikan, kemahiran dan inovasi.
“Namun, perubahan demografi seperti kadar kesuburan yang semakin menurun dan peningkatan umur median penduduk menuntut kita untuk memberi keutamaan kepada pembangunan pendidikan, kemahiran serta inovasi anak muda.
“Menjelang tahun 2040, belia hari ini akan menjadi pemacu utama ekonomi negara. Sebab itu, memperkasa generasi muda bukan sekadar pelaburan untuk hari ini, tetapi jaminan kepada masa depan Malaysia,” katanya lagi. – UMNO Online
