Melaka Terus Perkasa Sektor Pelancongan Menerusi Pembangunan Maya Resort Umbai

KUALA LUMPUR, 30 Jun – Melaka terus memperkasa sektor pelancongan menerusi pembangunan Maya Resort Umbai, kata Ketua Menterinya, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Ab Rauf memaklumkan beliau telah hadir pada Majlis Pecah Tanah Pusat Peranginan Maya Resort Umbai pada Isnin.

“Alhamdulillah, Kerajaan Negeri Melaka menyaksikan satu lagi langkah penting dalam memperkukuh sektor pelancongan negeri menerusi Majlis Pecah Tanah Pusat Peranginan Maya Resort Umbai.

“Hadir sama, Datuk Zaidi Attan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam; Datuk Dira Abu Zahar, ADUN Rim; Datuk Mohd Yusof Abu Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Melaka – MCORP; dan Datuk Mohamed Shamsherudin Mohd Shariff, Pengarah Urusan Razimar (M) Sdn Bhd,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, projek tersebut turut membuktikan keyakinan pelabur terhadap potensi Melaka sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa.

“Projek ini membuktikan keyakinan pelabur terhadap potensi Melaka sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa, khususnya dalam pembangunan pelancongan di pesisir.

“Pusat Peranginan Maya Resort Umbai akan dibangunkan di kawasan seluas 9.16 ekar dengan kos pembangunan RM18 juta. Projek ini merangkumi 15 unit vila, 68 unit bilik studio, dewan serbaguna, kolam renang serta pelbagai kemudahan pelancongan lain, dan dijadualkan siap pada Ogos 2027,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa lebih 200 peluang pekerjaan akan dapat diwujudkan melalui projek ini.

“Lebih penting, pembangunan ini dijangka akan mewujudkan lebih 200 peluang pekerjaan, selain membuka lebih banyak ruang kepada usahawan tempatan, peniaga kecil dan pengusaha produk serta makanan tempatan untuk berkembang bersama industri pelancongan.

“Kerajaan negeri akan terus memperluaskan pembangunan produk pelancongan ke kawasan berpotensi seperti Umbai supaya manfaat ekonomi tidak hanya tertumpu di bandar, malah turut dinikmati oleh komuniti luar bandar dan pesisir,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO