PH Sibuk Mengajar Johor, Tapi Lupa Peranan BN Yang Mulakan LRT3 Di Selangor

KUALA LUMPUR, 30 Jun – Pemimpin Pakatan Harapan (PH) diingatkan supaya tidak melupakan sejarah sebenar pembinaan projek Laluan Rel Transit 3 (LRT3) yang dirancang dan dimulakan ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN), kata Ketua Penerangan UMNO Negeri Selangor, Datuk Dr Mohd Zaidi Md Zain.

Beliau berkata, projek LRT3 telah dilancarkan pada 2016 ketika Kerajaan Persekutuan diterajui BN walaupun Selangor berada di bawah pentadbiran pembangkang, sekali gus membuktikan kerajaan ketika itu tidak pernah mempolitikkan soal pembangunan demi kepentingan rakyat.

“Kerajaan BN tidak pernah menjadikan perbezaan politik sebagai alasan untuk menafikan pembangunan kepada rakyat Selangor. Walaupun negeri itu ditadbir pembangkang, projek yang memberi manfaat kepada rakyat tetap diteruskan,” katanya.

Menurut beliau, tindakan segelintir pemimpin PH yang ghairah membandingkan pembangunan Johor dengan Selangor seharusnya disandarkan kepada fakta, bukannya naratif yang mengabaikan sejarah pelaksanaan projek berkenaan.

Mohd Zaidi menegaskan, LRT3 bukanlah projek yang bermula selepas PH mengambil alih Kerajaan Persekutuan, sebaliknya telah dirancang, diluluskan dan dimulakan ketika pentadbiran BN dengan sasaran asal siap sekitar 2020.

“Ini bukan soal menuntut pujian, tetapi soal berlaku adil kepada fakta. Rakyat berhak mengetahui bahawa banyak pembangunan strategik yang dinikmati hari ini adalah hasil perancangan jangka panjang yang dimulakan oleh kerajaan terdahulu,” ujarnya.

Beliau berkata, sebelum terlalu sibuk mengajar negeri lain mengenai pembangunan, pemimpin PH seharusnya mengiktiraf sumbangan kerajaan terdahulu yang meletakkan asas kepada pelaksanaan projek-projek strategik negara.

“Mudah untuk berbangga dengan projek yang telah siap. Yang lebih sukar ialah membuat keputusan untuk memulakannya. Rakyat boleh menilai sendiri siapa yang merancang, siapa yang memulakan, siapa yang melaksanakan dan siapa yang datang kemudian untuk mengambil kredit,” tegas beliau lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO