Bersama Lipatgandakan Usaha Pertahan Kemenangan – Sahrihan

LEDANG, 30 Jun – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir Sahrihan Jani menyeru semua jentera bersama lipatgandakan usaha mempertahankan kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini.

Sahrihan yang juga penyandang di DUN tersebut yakin dengan komitmen jentera sama seperti PRN sebelum ini hingga mampu mencipta kemenangan.

“Maka marilah kita melipatgandakan kerja, melipatgandakan usaha untuk terus memujuk pengundi-pengundi kita supaya DUN Gambir ini dapat terus kita pertahankan dalam kempen Pilihan Raya Negeri kali ini.

“Jangan lupa juga kita selitkan doa kita kepada Ilahi, semoga perjuangan kita yang suci, murni ini mendapat keberkatan daripada Allah Subhanahu Wa Ta’ala,” katanya.

Sahrihan berkata demikian dalam ucapan aluan ketika sesi perjumpaan Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan bersama jentera BN DUN Gambir di Sawah Ring, di sini.

Sahrihan juga berharap akan dapat meningkatkan lagi majoriti yang diperoleh berbanding sebelum ini.

Pada PRN lalu, Sahrihan yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Ledang menang kerusi tersebut dengan majoriti 3,088 undi.

Manakala pada PRN kali ini, Sahrihan akan ditentang calon daripada Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan.

PRN Johor akan diadakan pada 11 Julai akan datang dan hari mengundi awal 7 Julai manakala hari penamaan calon baharu sahaja berlangsung pada Sabtu lalu. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO