BN Mesti Bina Kekuatan Sendiri Untuk Menang PRN Johor
LEDANG, 29 Jun – Barisan Nasional (BN) mesti membina kekuatan sendiri untuk menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tanpa bergantung ehsan pihak lain, ujar Timbalan Pengerusinya Datuk Seri Mohamad Hasan.
Ujarnya, setiap parti mesti membina kekuatan sendiri kerana hanya parti yang kuat mampu menarik sokongan rakyat.

“Bina kekuatan kita sendiri kerana dalam hidup ini kita tak boleh terlampau bergantung pada belas ehsan orang. Kita perlu bina kekuatan sendiri.
“Bila kita ada kekuatan sendiri, orang nampak kita kuat, orang akan datang membantu kita,” katanya kepada media selepas selesai majlis perjumpaan bersama jentera BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Serom, petang tadi.
Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Ledang Datuk Abdull Rahim Talib dan calon BN bagi DUN Serom Nadhirah Afiqah Abdull Rahim.
Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO mengucapkan terima kasih kepada pihak yang sudi membantu BN dan berkata tidak wujud sebarang kerjasama politik kerana BN sejak awal memberi komitmen akan bertanding di kesemua 56 kerusi DUN di PRN Johor ini.

Dalam ucapannya, Mohamad yang juga Menteri Luar Negeri menyeru jentera parti mesti mempertahankan negeri Johor yang kini kembali berada dalam landasan yang amat cemerlang daripada terlepas kepada orang lain.
“Kita mesti pertahankan negeri Johor ini! Jangan nanti kita tanam pokok, orang yang makan buah dia. Kita pertahankan negeri Johor ini supaya di bawah pimpinan siapa-siapa nanti yang akan menjadi Menteri Besar, akan dapat meneruskan legasi Datuk Onn (Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi) ini.
Begitu juga katanya, jangan lepaskan negeri Johor kepada parti lain sebagaimana yang pernah terjadi pada Pilihan Raya Umum 2018 apabila parti yang memerintah tidak pandai mentadbir, hanya berjanji bulan dan Bintang, malah Menteri Besar turut bertukar sebanyak dua kali. – UMNO ONLINE
