PRN Johor: BN Gandakan Momentum Kempen, Sasar Kemenangan Cemerlang – Hasry Sham
PENGERANG, 30 Jun – Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kini memasuki fasa penting apabila jentera Barisan Nasional (BN) di seluruh negeri terus memperkemaskan gerak kerja bagi memastikan kemenangan calon-calon parti, khususnya daripada sayap Pemuda.
Exco Pemuda UMNO, Datuk Hasry Sham Chasmen, berkata Pemuda BN sentiasa memantau pergerakan dan penstrukturan jentera di setiap kawasan bagi memastikan kempen berjalan secara tersusun, berkesan dan mencapai sasaran yang ditetapkan.

Jelasnya, gerak kerja jentera BN setakat ini berjalan dengan amat baik apabila setiap pasukan melaksanakan tugas secara teratur dan terperinci.
“Kami melihat jentera BN sudah menjalankan kerja-kerja dengan teratur serta terperinci. Saya sendiri turun ke lapangan bagi meneliti perkembangan dan yakin pengundi akan berpihak kepada BN, sekali gus terus memberi mandat kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
“Bukan sahaja jentera tempatan yang melakukan gerak kerja, malah jentera daripada luar juga turut membantu. Ia bagi memastikan kemenangan berpihak kepada BN dengan melebihi 40 kerusi dan perkara ini amat baik serta signifikan.
“Dengan kesepaduan jentera di semua peringkat, ditambah dengan sokongan akar umbi yang semakin kukuh, akan menjadi pemangkin kepada kejayaan BN dalam PRN Johor, sekali gus membolehkan BN membentuk kerajaan negeri yang stabil dengan majoriti lebih besar,” katanya kepada UMNO Online.
Mengulas lanjut, Hasry Sham yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ampang menjelaskan, perkembangan positif sokongan kalangan pengundi muda semakin berpihak kepada BN dan mencerminkan keyakinan mereka terhadap kepimpinan dan perjuangan BN.
“Sokongan anak muda berpihak kepada BN dan harap perkara ini akan terus berterusan hingga pada hari mengundi. Pengundi muda banyak memberi tanggungjawab dan komitmen mereka terhadap BN, dan perkara tersebut amat positif sehingga hari ini.
“Perkembangan itu menjadi suntikan semangat kepada seluruh jentera BN untuk terus mendekati pengundi muda, selain memastikan agenda pembangunan dan kestabilan yang diperjuangkan parti dapat diteruskan demi kepentingan rakyat serta masa depan Johor,” ujarnya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pengundian awal pada 7 Julai dan hari mengundi pada 11 Julai.
Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding sehingga jam 11.59 malam 10 Julai (Jumaat). – UMNO Online
