Rashidah Tekad Pertahan Parit Raja Demi Kesinambungan Pembangunan, Kebajikan Rakyat
PARIT RAJA, 30 Jun – Calon Barisan Nasional (BN) DUN Parit Raja, Rashidah Ramli, bertekad mempertahankan kerusi Parit Raja bagi memastikan kesinambungan pembangunan serta kebajikan rakyat di kawasan itu dapat diteruskan.
Beliau berkata, sepanjang empat tahun di bawah pentadbiran Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, kerajaan negeri berjaya memperkukuh pembangunan ekonomi, sekali gus membolehkan pelbagai inisiatif kebajikan dan projek pembangunan dilaksanakan untuk manfaat rakyat.

“Syukur Alhamdulillah, sepanjang di bawah pentadbiran Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai Menteri Besar Johor, pembangunan, kebajikan rakyat serta infrastruktur dan prasarana berjaya dipertingkatkan.
“Banyak kemudahan dan peruntukan telah diluluskan oleh Menteri Besar termasuk bagi menaik taraf infrastruktur di kawasan DUN Parit Raja, selain pelbagai bantuan kebajikan yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat,” katanya kepada UMNO Online.
Beliau berdepan pertandingan tiga penjuru di DUN Parit Raja pada Pilihan Raya Negeri Johor (PRN) membabitkan PH, dan PN.
Menurut Rashidah, prestasi ekonomi Johor yang semakin kukuh sepanjang empat tahun lalu membolehkan kerajaan negeri menyalurkan pelbagai bentuk bantuan termasuk kepada golongan belia, usahawan serta rakyat yang memerlukan.
Katanya, selain bantuan secara langsung, pelaksanaan projek pembangunan dan penaiktarafan infrastruktur turut menjadi antara keutamaan kerajaan negeri demi meningkatkan kualiti hidup rakyat.
Sehubungan itu, beliau berjanji akan meneruskan agenda pembangunan sekiranya diberi mandat oleh pengundi pada PRN Johor.
“Saya mewakili Barisan Nasional bagi N22 DUN Parit Raja bertekad untuk mengekalkan kerusi ini supaya pembangunan dan kebajikan kepada seluruh warga Parit Raja dapat diteruskan serta dipertingkatkan.
“Saya yakin dengan kesungguhan Menteri Besar Johor dan komitmen yang telah diumumkan beliau. Insya-Allah, sekiranya BN sekali lagi diberi mandat mentadbir kerajaan negeri, kami akan memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara,” katanya.
Beliau berkata, masih banyak agenda pembangunan yang perlu diteruskan termasuk menaik taraf infrastruktur serta memenuhi keperluan rakyat yang semakin berkembang.
Justeru, Rashidah menyeru pengundi Parit Raja supaya memberikan sokongan kepada BN bagi memastikan kesinambungan pentadbiran yang diyakini mampu membawa lebih banyak pembangunan kepada Johor.
“Berilah mandat kepada Barisan Nasional sekali lagi untuk mentadbir kerajaan negeri Johor agar pembangunan dan kebajikan rakyat dapat terus diperkasakan. Jangan lupa keluar mengundi dan berikan sokongan kepada calon BN N22 DUN Parit Raja, calon nombor tiga,” katanya. – UMNO Online
