Wanita UMNO Negeri Sembilan Sedia Gerak Jentera, Tekad Pastikan BN Kembali Jadi Kerajaan
JEMPOL, 30 Jun – Wanita UMNO Negeri Sembilan menyatakan kesiapsiagaan penuh untuk menggerakkan jentera parti bagi memastikan kemenangan semua kerusi yang ditandingi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan, Datuk Bibi Sharliza Mohd Khalid berkata, amanat yang disampaikan Presiden UMNO kepada kepimpinan empat peringkat parti pada Ahad memberi suntikan semangat kepada seluruh jentera, khususnya sayap wanita, untuk menghadapi pilihan raya.

Menurut beliau, antara penekanan utama ialah kepentingan seluruh ahli bersatu, bekerja secara berpasukan dan ikhlas demi memastikan kemenangan parti.
“Kami wanita sentiasa bersiap sedia dan menyahut cabaran Presiden untuk memenangkan kesemua kerusi yang ditandingi oleh Barisan Nasional di Negeri Sembilan,” katanya.
Beliau berkata, kemenangan yang dicapai BN pada PRN 2023 diyakini mampu diterjemahkan kepada kejayaan lebih besar pada PRN kali ini menerusi strategi dan formula yang sedang diperincikan oleh kepimpinan parti.
Mengulas isu penarikan sokongan terhadap Menteri Besar sebelum ini, Bibi Sharliza menjelaskan tindakan tersebut bukan bertujuan melakukan “tebuk atap”, sebaliknya berpunca daripada hilangnya kepercayaan terhadap kepimpinan Menteri Besar dalam menyelesaikan krisis yang berlaku.

Katanya, akar umbi kini semakin memahami pendirian parti dan beliau berharap seluruh keluarga UMNO serta BN terus memperkukuhkan kesatuan menjelang hari pengundian.
“Saya bersama seluruh Wanita UMNO Negeri Sembilan bersedia sepenuhnya untuk turun padang dan memastikan kemenangan kerusi-kerusi Barisan Nasional pada 1 Ogos nanti,” katanya lagi yang ditemui selepas perjumpaan khas Presiden UMNO bersama kepimpinan empat peringkat Negeri Sembilan, semalam. – UMNO Online
