MARA Perkukuh Disiplin MRSM, Bekas Tentera Mula Bertugas Sebagai Warden Sepenuh Masa 1 Julai

KUALA LUMPUR, 29 Jun – Majlis Amanah Rakyat (MARA) terus memperkukuh usaha meningkatkan disiplin dan keselamatan pelajar apabila warden luar sepenuh masa dalam kalangan bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mula melaporkan diri di lapan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) terpilih bermula 1 Julai ini.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, penempatan warden berkenaan diharap dapat memperkukuhkan budaya disiplin di MRSM sekali gus membendung sebarang insiden buli dalam kalangan pelajar.

“Mulai Rabu ini, warden-warden sepenuh masa bekas tentera akan mula melaporkan diri di lapan MRSM terpilih termasuk MRSM Muar. Diharapkan selepas ini tiada lagi kedengaran kes-kes buli selain dapat meningkatkan tahap disiplin pelajar,” katanya.

Beliau berkata, proses pemilihan warden dilaksanakan secara teliti oleh anak syarikat MARA, Glokal Link Sdn. Bhd. (GLSB) dengan kerjasama Bahagian Pendidikan Menengah MARA, Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV), TalentCorp serta Seksyen Psikologi dan Kaunseling Angkatan Tentera Malaysia.

Seramai 147 calon menghadiri sesi temu duga fizikal yang berlangsung pada 15 dan 16 Jun lalu di Institut Kemahiran MARA (INTEM), Kepong, selepas melepasi beberapa peringkat tapisan awal.

Menurut beliau yang juga Setiausaha Agung UMNO, pemilihan bukan hanya berdasarkan temu duga fizikal, malah setiap calon perlu melalui penilaian menyeluruh termasuk ujian psikometrik, ujian psikologi ketenteraan, saringan kesihatan mental, pemeriksaan indeks jisim badan (BMI), bleep test serta temu duga oleh panel pelbagai agensi.

Katanya, penilaian psikologi turut memberi penekanan terhadap aspek perlindungan kanak-kanak, kawalan impuls, integriti, batas profesional serta risiko salah laku seksual bagi memastikan hanya calon yang benar-benar sesuai dipilih.

Selain itu, semua calon turut menjalani semakan status veteran, rekod jenayah, semakan daftar pesalah seksual terhadap kanak-kanak dan rekod disiplin sebelum sebarang surat pelantikan dikeluarkan.

“Prinsip MARA dan GLSB jelas, tiada surat tawaran akan dikeluarkan selagi semua proses tapisan belum disempurnakan. Hanya calon yang layak, berintegriti dan benar-benar sesuai menjaga pelajar akan dilantik,” katanya.

Bagi fasa pertama, seramai 16 warden lelaki akan memulakan tugas pada 1 Julai melibatkan lapan MRSM terpilih. Secara keseluruhannya, sebanyak 32 jawatan diwujudkan dengan setiap MRSM akan mempunyai empat warden sepenuh masa iaitu dua lelaki dan dua wanita.

Dalam masa sama, proses pemilihan warden wanita turut berjalan dengan temu duga fizikal dijadualkan pada 2 Julai sebelum pelantikan dibuat selepas semua tapisan selesai.

Dr Asyraf berkata, langkah itu mencerminkan komitmen MARA untuk memastikan persekitaran pembelajaran di MRSM kekal selamat, berdisiplin dan kondusif, sekali gus memenuhi harapan ibu bapa serta masyarakat terhadap kebajikan dan keselamatan pelajar. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO