Pertukaran Calon Antara Komponen Bukan Sesuatu Yang Asing, Kesepakatan BN Formula Pembinaan Negara

SIMPANG RENGGAM, 29 Jun – Pertukaran calon antara parti komponen di satu-satu kawasan ketika pilihan raya bukanlah sesuatu yang asing dalam amalan Barisan Nasional (BN), ujar Timbalan Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam Datuk Zakaria Dullah.

Ujarnya, kesepakatan dan formula perkongsian kuasa sejak lebih 60 tahun lalu tidak pernah berpaksikan kepada perebutan kerusi semata-mata, sebaliknya meletakkan kestabilan masyarakat majmuk sebagai tiang seri pembinaan negara bangsa dan menjadi formula kepada keamanan dan kemakmuran yang dinikmati rakyat hari ini.

“Konsep komponen BN ini kita tidak pernah mengambil kira soal kedudukan seat (kerusi) semata-mata, tetapi semangat pembinaan negara kita melibatkan masyarakat majmuk. Kita kena bersama-sama. Kita yakin dengan kesepakatan itu. Lebih 60 tahun kita hidup aman makmur, kenapa hari ini kita rasa ada masalah?” katanya.

Zakaria berkata demikian ketika ditanya mengenai pertukaran calon antara UMNO dan MCA di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang telah menimbulkan sedikit isu dan alasan penyandang melompat parti kepada Perikatan Nasional (PN)/Bersatu.

Mengimbas kembali sejarah geopolitik kawasan tersebut, Zakaria berkata sebelum persempadanan semula kawasan pilihan raya pada 2003, nama Parlimen Simpang Renggam asalnya dikenali sebagai Sungai Benut dan di dalamnya terdapat Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Renggam yang diwakili MCA.

“Ada satu DUN yang diwakili oleh Datuk Jimmy Low Boon Hong daripada MCA bagi kawasan sekitar Simpang Renggam (sekarang ini Layang-Layang). Satu lagi DUN Benut Allahyarham Salehon Sengot dari UMNO dan Parlimennya diwakili UMNO, itu sebelum persempadanan baharu.

“Bila persempadanan baharu, Parlimen kita dikenali sebagai Parlimen Simpang Renggam dan diwakili dari Gerakan dan dua DUN iaitu Machap dan Layang-Layang.

“Sebab itu kalau ada suara-suara yang mengatakan kita di DUN Layang-Layang ini tidak boleh bekerjasama dengan MCA, itu tidak tepat. Kita pernah ada wakil daripada MCA sebelum ini,” katanya.

Ulasnya lagi menyentuh mengenai riak-riak tidak puas hati di peringkat awal, kepimpinan menegaskan bahawa perkara tersebut tidak dibiarkan begitu sahaja dan penerangan yang jelas telah digerakkan bagi memahamkan jentera serta pengundi.

“Saya turun ke bawah, betul ada yang tak puas hati. tapi kita tak boleh biar, kita kena beritahu dan jelaskan. Alhamdulillah, selepas penjelasan dibuat, hari penamaan calon menyaksikan kehadiran hampir dua ribu orang. Kita ada keyakinan bila masyarakat diberi penjelasan, insya-Allah mereka akan terima,” katanya lagi.

Begitu juga katanya calon yang diketengahkan oleh BN iaitu Chua Jian Boon walaupun bukan Melayu dan beragama Islam, tetapi disifatkan sebagai seorang yang sangat memahami sensitiviti masyarakat setempat, termasuk menghormati dan meraikan takwim umat Islam serta komited dalam kepelbagaian kaum yang wujud di kawasan berkenaan. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO