PH, PN Masih Belum Tampil Hala Tuju Jelas, Bagaimana Mahu Tadbir Johor

JOHOR BAHRU, 29 Jun – Ketua Wanita Barisan Nasional (BN) Negeri Johor, Asiah Md Ariff berpandangan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) masih gagal memperincikan hala tuju serta perancangan yang jelas kepada rakyat meskipun kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor telah berlangsung.

Menurut beliau, sehingga kini kedua-dua gabungan itu masih belum mengemukakan manifesto atau pelan menyeluruh yang boleh dijadikan asas kepada rakyat untuk menilai kemampuan mereka mentadbir negeri.

“Persoalannya, jika hala tuju pun masih belum mampu dipersembahkan kepada rakyat, bagaimana mereka mahu meyakinkan rakyat bahawa mereka benar-benar bersedia untuk mentadbir Johor?” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, rakyat Johor ketika ini tidak lagi memerlukan retorik atau slogan semata-mata, sebaliknya mengharapkan perancangan yang jelas, dasar yang realistik serta komitmen yang boleh dipertanggungjawabkan.

Menurut Asiah, ketiadaan manifesto sehingga kempen sedang berjalan memberi gambaran bahawa PH dan PN masih belum mempunyai perancangan yang tersusun serta gagal menawarkan visi yang meyakinkan bagi membawa Johor ke hadapan.

“Johor memerlukan kepimpinan yang bersedia dengan pelan yang jelas, bukan sekadar meminta mandat tanpa menawarkan arah tuju yang boleh dinilai oleh rakyat,” katanya.

Beliau turut berpandangan bahawa rakyat Johor merupakan pengundi yang matang dan akan membuat penilaian berdasarkan rekod pencapaian, kestabilan pentadbiran serta tawaran yang dikemukakan kepada mereka.

Justeru, Asiah berkata, BN hadir pada PRN Johor dengan tawaran yang jelas menerusi manifesto yang telah dibentangkan lebih awal, sekali gus membolehkan rakyat menilai komitmen dan perancangan yang ditawarkan untuk meneruskan agenda pembangunan negeri. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO