PRN Johor: Pastikan BN Terus Jadi Pilihan Rakyat – Tok Det
SRI GADING, 29 Jun – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid menegaskan kehadiran jentera dari Kedah ke Johor adalah bagi membantu serta berkongsi semangat perjuangan untuk memastikan Barisan Nasional (BN) terus diberi mandat mentadbir negeri itu pada pilihan raya kali ini.
Beliau berkata, seluruh jentera perlu bekerja sebagai satu pasukan dan sebuah keluarga besar di bawah panji BN demi memastikan kemenangan gabungan tersebut.
“Kita datang untuk membantu dan berkongsi semangat di negeri Johor bagi menentukan bahawa pada 12 haribulan nanti, sekali lagi kerajaan Barisan Nasional akan menjadi kerajaan negeri Johor.
“Kita perlu bekerja sebagai satu pasukan dan satu keluarga atas nama Barisan Nasional. Dengan perpaduan dan kesatuan hati, insya-Allah kita mampu mencapai kemenangan,” katanya.
Mahdzir berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya BN Sri Gading yang disempurnakan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, semalam.
Turut hadir Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; calon BN DUN Parit Yaani, Datuk Najib Samuri; calon BN DUN Parit Raja, Rashidah Ramli; barisan kepimpinan parti-parti komponen serta para pendokong dan penyokong BN.
Dalam pada itu, Mahdzir berkata BN telah mentadbir negara selama puluhan tahun sebagai sebuah gabungan pelbagai kaum yang sentiasa mengutamakan perpaduan dan keharmonian rakyat.
“BN telah memerintah puluhan tahun. Atas nama BN, kita adalah parti pelbagai kaum, bukan UMNO sahaja yang memerintah. Kita ada orang Melayu, Cina, India, Kadazan, masyarakat Orang Asli dan pelbagai kaum lagi.
“Selama lebih 50 tahun, kabinet kerajaan turut dianggotai oleh wakil daripada pelbagai kaum dan rakyat dapat hidup dalam keadaan aman serta harmoni. Tidak ada sebab untuk menolak BN kerana parti ini terbukti mewakili masyarakat majmuk dan Johor sendiri telah membuktikan semua kaum dapat menikmati hasil pembangunan yang dibawa oleh BN,” katanya.
Beliau turut menyeru seluruh jentera agar terus memperkukuhkan gerak kerja dan semangat kebersamaan bagi memastikan BN memperoleh kemenangan yang meyakinkan pada hari pengundian nanti.- UMNO Online
