Anak Muda Melaka Peneraju Masa Depan Negeri, Agenda TVET Terus Diperkasa
MELAKA, 28 Jun – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menegaskan golongan belia merupakan aset paling bernilai yang akan menentukan hala tuju masa depan negeri dan negara, justeru pelbagai inisiatif terus dilaksanakan bagi memperkasa pembangunan generasi muda.
Beliau berkata, dengan tema “Menggerak Belia” sempena Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Melaka 2026, anak muda tidak seharusnya sekadar menjadi pemerhati perubahan, sebaliknya perlu tampil sebagai pencetus idea, peneraju inovasi dan penggerak kemajuan.

Menurutnya, belia hari ini ialah generasi TVET, generasi digital dan generasi kecerdasan buatan (AI) yang memiliki peranan penting dalam membentuk masa depan Malaysia.
“Melaka mempunyai hampir 243,000 orang belia, satu kekuatan besar yang perlu terus diperkasakan. Kerajaan Negeri komited menyediakan ekosistem terbaik merangkumi pendidikan, latihan kemahiran, keusahawanan, peluang pekerjaan berpendapatan tinggi serta pembangunan sahsiah.
“Tiada seorang pun belia harus tercicir daripada arus pembangunan kerana setiap daripada mereka merupakan aset paling bernilai buat negeri ini,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Melaka 2026 di Stadium Jasin, malam tadi.
Ab Rauf berkata, kerajaan negeri turut memperkukuh agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai jambatan melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang memenuhi keperluan industri serta membuka lebih banyak peluang kerjaya berkualiti kepada golongan muda.

Beliau berkata, menerusi gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa), pembangunan belia terus menjadi antara keutamaan pentadbiran negeri dengan hampir RM70 juta diperuntukkan sepanjang tempoh pentadbiran bagi memperkasa pembangunan belia.
Katanya, peruntukan itu digunakan untuk menaik taraf fasiliti sukan serta melaksanakan pelbagai program yang mampu membina potensi, kepimpinan dan kesejahteraan golongan muda.
“Pelaburan terhadap belia bukan sekadar pelaburan untuk hari ini, tetapi jaminan kepada kekuatan negeri pada masa hadapan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyeru seluruh anak muda Melaka supaya terus berani melangkah ke hadapan dengan memperkukuh ilmu, mengasah kemahiran serta memanfaatkan setiap peluang yang disediakan bagi merealisasikan potensi mereka sebagai pemacu pembangunan negeri. – UMNO Online
