Khidmat Kepada Rakyat Jadi Keutamaan Alwiyah Di Endau
ENDAU, 28 Jun – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau, Alwiyah Talib menegaskan komitmennya untuk terus berkhidmat kepada masyarakat dan meneruskan agenda pembangunan di kawasan itu sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Alwiyah, yang lebih dikenali sebagai Kak Awi, berkata kepercayaan yang sekali lagi diberikan kepimpinan BN untuk mempertahankan kerusi DUN Endau merupakan satu amanah besar yang akan dipikul dengan penuh tanggungjawab demi kepentingan rakyat.
Beliau turut menzahirkan rasa syukur selepas proses penamaan calon berjalan lancar serta merakamkan penghargaan kepada kepimpinan parti, jentera, sukarelawan dan seluruh rakyat Endau yang hadir memberikan sokongan.
Menurutnya, walaupun menyedari pelbagai sentimen yang timbul berhubung penyertaannya bersama BN pada PRN kali ini, fokus utamanya tetap tidak berubah iaitu memastikan kebajikan rakyat terus terbela dan pembangunan di Endau dapat diteruskan.
“Kepentingan masyarakat sentiasa menjadi keutamaan saya. Amanah yang diberikan ini akan saya laksanakan sebaik mungkin dengan mendengar suara rakyat, menyelesaikan isu setempat dan memastikan pembangunan yang dirancang dapat dinikmati oleh semua,” katanya.
Beliau berharap rakyat Endau terus memberikan sokongan dan kepercayaan kepada BN agar segala perancangan pembangunan serta usaha meningkatkan kesejahteraan penduduk dapat diteruskan demi masa depan kawasan itu.

“‘Rumah’ mana sekalipun bukan isu utama bagi saya. Yang lebih penting ialah terus menjadi penghubung kepada rakyat serta mewakili suara mereka.
“Saya menawarkan pengalaman, komitmen dan kesungguhan yang dimiliki akan terus dimanfaatkan untuk membawa pembangunan yang lebih pesat, memperkukuh ekonomi setempat serta memastikan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.
Dalam pada itu, Alwiyah berharap semua pihak agar memainkan peranan masing-masing dalam mengekalkan keharmonian serta mengelakkan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan provokasi sepanjang tempoh berkempen.
“Saya berharap tempoh berkempen sepanjang PRN Johor berlangsung dalam suasana matang, berhemah dan berteraskan fakta.
“Saya menyeru semua pihak agar bersama-sama memelihara keharmonian, menghormati proses demokrasi serta mengelakkan sebarang bentuk provokasi demi memastikan pilihan raya berlangsung dengan aman,”katanya lagi.
Seterusnya kata Alwiyah lagi, komitmen untuk memajukan Endau akan terus diperkukuhkan menerusi kerjasama erat antara pemimpin dan masyarakat demi memastikan setiap lapisan penduduk menikmati manfaat pembangunan secara menyeluruh.
“Insya-Allah, dengan sokongan padu seluruh rakyat Endau, kita akan melangkah ke hadapan membina Endau yang lebih maju, makmur dan sejahtera untuk semua,” ujarnya. – UMNO Online
