Gelombang Biru DUN Benut Dilancar, Ahmad Zahid Seru Jentera Bekerja Keras

PONTIAN, 27 Jun – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan seluruh jentera parti supaya memperhebat gerak kerja di lapangan dengan mendekati setiap pengundi bagi memastikan kemenangan calon BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Beliau berkata, kekuatan jentera dan sokongan pengundi merupakan faktor paling penting dalam menentukan kejayaan BN, justeru semua petugas perlu bekerja bersungguh-sungguh serta memperkukuhkan usaha mempromosikan calon parti.

Menurut beliau, calon BN DUN Benut, Datuk Mohd Sumali Reduan merupakan individu yang telah lama dikenalinya dan diyakini mampu membawa lebih banyak pembangunan serta menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat Benut sekiranya diberi mandat.

“Saya kenal Sumali sudah lama dan saya yakin jika beliau dipilih, beliau akan membawa lebih banyak pembangunan serta menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat di DUN Benut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Gelombang Biru DUN Benut di sini.

Ahmad Zahid turut mengingatkan jentera supaya berkempen secara matang memandangkan BN merupakan sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.

Beliau menegaskan kempen tidak seharusnya tertumpu kepada serangan peribadi terhadap calon lawan, sebaliknya seluruh jentera perlu memberi fokus kepada usaha memperkenalkan kekuatan serta kredibiliti calon BN kepada rakyat.

“Kita jangan ketengahkan soal peribadi atau memburukkan calon lawan. Sebaliknya, promosikan calon kita sebaik mungkin dan yakinkan pengundi bahawa BN mampu memberikan perkhidmatan terbaik,” katanya.

Beliau turut menyeru jentera supaya memperluaskan gerak kerja dengan menemui seramai mungkin pengundi termasuk golongan muda, selain mengekalkan semangat setia kepada parti demi memastikan kemenangan BN.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata Johor merupakan antara negeri yang kini menikmati perkembangan ekonomi yang memberangsangkan hasil kestabilan pentadbiran kerajaan negeri.

Beliau menyifatkan rakyat Johor bertuah kerana negeri itu kini muncul antara negeri yang mencatat pertumbuhan dan kutipan hasil yang baik, sekali gus membuka lebih banyak peluang pembangunan untuk rakyat.

“Yang penting, kita adalah anak Benut, anak Pontian. Terus bekerja keras dan dekati seluruh pengundi demi memastikan kemenangan BN,” katanya.

Turut hadir calon BN DUN Benut, Datuk Mohd Sumali Reduan; Ketua UMNO Bahagian Pontian, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, serta barisan kepimpinan, penyokong dan pendukung BN yang lain. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO