Satu Lawan Satu, Onn Hafiz Tekad Pertahankan Kerusi DUN Machap
SIMPANG RENGGAM, 27 Jun – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi bertekad akan terus mempertahankan kerusinya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini.
Onn Hafiz yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor yang akan berdepan dengan saingan satu lawan satu daripada Pakatan Harapan (PH), akan berjuang berhabis-habisan.

“Kepada semua calon yang bertanding, kita bertanding secara sihat, dengan tertib dan adab.
“Dalam keadaan pilihan raya ini, ‘anything can happen’. Jadi kita akan berjuang habis-habisan untuk mendapat undi daripada rakyat,” katanya kepada media sebaik selesai proses penamaan calon di Pusat Penamaan Calon, Dewan Muafakat Simpang Renggam di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Onn Hafiz bersyukur proses penamaan berjalan lancar dan berharap kempen berlangsung dengan penuh harmoni.
Pada PRN kali ini Onn Hafiz akan ditentang calon PH daripada Amanah Nor Hafiz Roslan.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya Mohd Izzul Helmi Ahmad mengumumkan perkara tersebut di Pusat Penamaan Calon itu selepas proses penamaan calon ditutup sepenuhnya pada pukul 10.00 pagi tadi.
DUN Johor dibubarkan pada 1 Jun lalu, dan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan hari ini sebagai hari penamaan calon, pengundian awal pada 7 Julai dan hari mengundi pada 11 Julai.
Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding sehingga jam 11.59 malam 10 Julai (Jumaat).
BN bertanding di kesemua 56 kerusi DUN yang terdapat dalam negeri Johor. – UMNO ONLINE
