Ahmad Zahid Iringi Onn Hafiz Ke Pusat Penamaan DUN Machap
SIMPANG RENGGAM, 27 Jun – Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengiringi calon BN yang juga penyandang bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Datuk Onn Hafiz Ghazi sempena Hari Penamaan Calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO tiba jam 8.35 pagi di perkarangan Pejabat UMNO Bahagian Simpang Renggam yang disambut oleh Onn Hafiz merangkap Menteri Besar Johor dan penyokong serta jentera parti.

Hadir sama Ahli Parlimen Simpang Renggam Datuk Seri Ir Hasni Mohammad yang juga bekas Menteri Besar Johor, Ahli Parlimen Sembrong Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin.
Kira-kira hampir dua ribu penyokong dan jentera BN tempatan yang hadir sejak jam 7 pagi turut bersama dalam sesi perarakan mengiringi Onn Hafiz dan Ahmad Zahid serta kepimpinan parti ke Pusat Penamaan Calon di Dewan Muafakat Simpang Renggam, di sini.
Sesi perarakan dimulai dengan bacaan doa dan bergerak ke pusat penamaan calon hampir satu kilometer dengan penuh tertib, penuh bersemangat dengan kibaran bendera dan sepanduk, selain laungan “on tak on” sebagai tanda ‘trademark’ Onn Hafiz.
Onn Hafiz bersama pencadang dan penyokong masuk ke Pusat Penamaan Calon tepat jam 9 pagi sebaik ia dibuka.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya memaklumkan calon mempunyai tempoh sejam, iaitu hingga 10 pagi untuk menyerahkan borang pencalonan masing-masing sebelum senarai calon yang layak bertanding diumumkan secara rasmi.

DUN Johor dibubarkan pada 1 Jun lalu, dan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan hari ini sebagai hari penamaan calon, pengundian awal pada 7 Julai dan hari mengundi pada 11 Julai.
Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding sehingga jam 11.59 malam 10 Julai (Jumaat).
BN bertanding di kesemua 56 kerusi DUN yang terdapat dalam negeri Johor. – UMNO ONLINE
