Tubuh RCI Segera Siasat Isu Rohingya Demi Keselamatan Negara
KUALA LUMPUR, 26 Jun – Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG) menggesa Kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dengan segera bagi menyiasat secara menyeluruh isu pelarian Rohingya yang didakwa semakin kompleks serta berpotensi memberi kesan terhadap keselamatan dan kedaulatan negara.
Presidennya, Tan Sri Mohd Yussof Latiff, berkata penubuhan RCI adalah langkah paling wajar bagi merungkai pelbagai persoalan yang timbul berhubung pengurusan pelarian Rohingya, termasuk dakwaan berhubung penyelewengan bantuan, sindiket yang mengambil kesempatan serta kelemahan dalam aspek penguatkuasaan.

Menurut beliau, isu tersebut tidak boleh lagi dipandang ringan memandangkan jumlah pelarian yang semakin meningkat turut menimbulkan pelbagai implikasi terhadap aspek keselamatan, sosial dan ekonomi negara.
“Persatuan Melayu Pulau Pinang sekali lagi mencadangkan supaya suatu Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan segera oleh Kerajaan untuk menyiasat masalah ini secara menyeluruh demi menyelamatkan negara Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata RCI perlu diberikan mandat untuk menyiasat semua aspek berkaitan pengurusan pelarian Rohingya, termasuk dakwaan kewujudan kartel atau sindiket yang didakwa mengeksploitasi golongan terbabit, selain meneliti keberkesanan penguatkuasaan oleh agensi berkaitan.
Mohd Yussof turut menegaskan sebarang kelemahan dalam pengurusan isu tersebut perlu dikenal pasti dan diperbetulkan segera agar kepentingan serta keselamatan negara terus terpelihara.
Beliau berpandangan tindakan tegas dan menyeluruh perlu diambil bagi memastikan isu pelarian Rohingya ditangani secara lebih berkesan, telus dan bertanggungjawab, sekali gus mengelakkan ia terus menjadi beban kepada negara pada masa hadapan. – UMNO Online
