MB Selangor Jangan Terlalu Sibuk Mengajar Johor – Mohd Zaidi
KUALA LUMPUR, 26 Jun – Ketua Penerangan UMNO Negeri Selangor Datuk Dr Mohd Zaidi Md Zain berkata Johor tidak memerlukan Menteri Besar Selangor untuk mengajar rakyat Johor bagaimana hendak membangunkan negeri mereka.
Mohd Zaidi mengambil maklum kenyataan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari yang dilihat begitu bersemangat berceramah di Johor dengan membandingkan pembangunan Johor dan Selangor.

“Sebagai pimpinan UMNO Negeri Selangor, saya ingin bertanya satu perkara yang mudah: Adakah semua masalah rakyat di Selangor sudah selesai sehingga Menteri Besarnya mempunyai begitu banyak masa untuk mengajar rakyat Johor bagaimana hendak mentadbir negeri?
“Kalau Selangor sudah begitu sempurna seperti yang cuba digambarkan, mengapa Menteri Besarnya masih perlu datang ke Johor untuk mencari kelemahan negeri orang?
“Rakyat Selangor masih berdepan pelbagai isu yang memerlukan perhatian serius kerajaan negeri. Namun apa yang kita lihat hari ini, Menteri Besar Selangor lebih sibuk berkempen di Johor daripada menyelesaikan pelbagai persoalan yang masih dibangkitkan rakyat di Selangor,” tegasnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambah Mohd Zaidi yang juga Ketua UMNO Bahagian Bangi, rakyat Selangor mengundi Amirudin untuk mengurus Selangor, bukan untuk menjadi penasihat tidak rasmi kepada negeri Johor.
“Banding angka dan membuat ceramah politik memang mudah. Yang sukar ialah menjawab isu rakyat apabila ia berlaku di depan mata sendiri.
“Tetapi mentadbir negeri, menyelesaikan masalah rakyat dan memenuhi harapan rakyat adalah perkara yang jauh lebih sukar,” katanya.
Justeru katanya lagi, rakyat Johor tidak memerlukan kuliah politik daripada Menteri Besar Selangor.
“Rakyat Johor cukup bijak untuk menilai sendiri rekod, prestasi dan pencapaian kerajaan negeri mereka.
Johor mempunyai identiti, kekuatan dan acuan pembangunannya yang tersendiri.
“Rakyat Johor cukup matang untuk menilai sendiri siapa yang bekerja dan siapa yang sekadar pandai berceramah,” ujarnya. – UMNO ONLINE
