Jangan Heret Institusi Raja Kerana Kekecewaan Politik, Cerminan Sikap Kebudak-Budakan – Zawawi

KUALA LUMPUR, 25 Jun – Tindakan membuat tuduhan berasaskan rasa tidak puas hati sehingga mengaitkan kepimpinan negeri dengan institusi diraja hanya memperlihatkan sikap kebudak-budakan dan tidak matang dalam berpolitik.

Ketua Penerangan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Zawawi Othman berkata dakwaan bahawa Menteri Besar Johor bertindak mengikut telunjuk Tuanku Sultan Johor adalah tidak berasas, malah hakikatnya ia menunjukkan hubungan erat serta kebersamaan antara UMNO dan institusi Raja dalam mengurus serta mentadbir negeri demi kepentingan rakyat.

Menurut beliau, isu berkaitan tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bukanlah perkara besar memandangkan usia pentadbiran negeri telah melepasi empat tahun dan Pilihan Raya Negeri (PRN) sememangnya perlu diadakan dalam tempoh yang tidak lama lagi.

“Kalau pun ada perbezaan masa, sama ada cepat atau lambat, ia hanya melibatkan satu atau dua minggu atau bulan sahaja. Itu juga menunjukkan sikap taat setia kepada Raja-Raja Melayu yang menjadi sebahagian daripada perjuangan UMNO sejak dahulu,” katanya.

Beliau berkata UMNO merupakan satu-satunya parti politik yang secara jelas meletakkan usaha mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu dalam perlembagaannya, justeru perkara tersebut tidak seharusnya dijadikan polemik politik.

“Ini perkara kecil sahaja. Jangan kerana emosi dan rasa tidak puas hati, kita bertindak sehingga memberi ruang kepada pihak lain menjadikan kelemahan dan kesilapan kita sebagai senjata politik,” katanya lagi.

Zawawi berkata demikian ketika mengulas keputusan Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang mengumumkan keluar daripada UMNO serta-merta pada Khamis dan mengaitkan perkara tersebut dengan institusi diraja. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO