Anak Muda Perlu Berpolitik Berasaskan Fakta, Tolak Manipulasi Persepsi – Syahmi Ahmadi

TEBRAU, 26 Jun – Golongan muda diseru agar menjadi generasi yang bijak menilai maklumat dan tidak mudah terpengaruh dengan manipulasi persepsi serta fitnah yang semakin berleluasa, khususnya di media sosial.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Tebrau, Syahmi Ahmadi berkata, budaya politik yang sihat perlu dibina atas asas fakta, kebenaran dan rekod pencapaian, bukannya sentimen atau dakwaan yang tidak berasas.

Menurut beliau, masyarakat khususnya anak muda perlu lebih kritis dalam menilai sesuatu isu dengan melihat fakta sebenar sebelum membuat sebarang kesimpulan.

“Dalam dunia politik hari ini, cabaran terbesar bukan sahaja persaingan idea dan dasar, tetapi juga penyebaran persepsi yang sengaja dimanipulasi untuk mengelirukan rakyat.

“Kita tidak boleh membiarkan fitnah atau naratif negatif menjadi penentu kepada sesuatu penilaian. Sebaliknya, setiap perkara perlu dinilai berdasarkan fakta dan bukti yang sahih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas peranan golongan muda dalam memastikan ruang demokrasi terus dipenuhi dengan wacana yang matang dan bertanggungjawab.

Tambah beliau, kepimpinan Johor hari ini sentiasa menekankan kepentingan menyampaikan maklumat yang tepat kepada rakyat serta mengutamakan hasil kerja berbanding polemik politik yang tidak membawa manfaat.

“Apabila sesuatu kejayaan atau usaha pembangunan dilaksanakan, sudah tentu akan ada pihak yang cuba membina persepsi tertentu untuk menenggelamkan perkara yang baik.

“Sebab itu anak muda perlu memainkan peranan sebagai penyampai maklumat yang bertanggungjawab dengan memastikan fakta yang benar dapat disebarkan kepada masyarakat,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa masa depan Johor tidak seharusnya dipertaruhkan hanya kerana terpengaruh dengan gelombang persepsi atau dakwaan yang tidak mempunyai asas kukuh.

“Sebagai rakyat Johor, kita perlu membuat penilaian secara profesional dan matang. Lihat kepada rekod pencapaian, lihat kepada hasil kerja dan lihat kepada usaha yang telah dilakukan untuk rakyat.

“Jangan membuat keputusan hanya berdasarkan persepsi yang dibentuk oleh pihak tertentu tanpa meneliti fakta sebenar,” katanya lagi.

Syahmi berpandangan bahawa rakyat hari ini semakin bijak menilai sesuatu isu dan mampu membezakan antara fakta serta propaganda politik yang sengaja dimainkan untuk meraih perhatian.

Sehubungan itu, beliau berharap golongan belia di seluruh Johor terus menjadi ejen penyebar maklumat yang tepat, mengamalkan budaya semak dan sahkan, serta bersama-sama mempertahankan politik yang berteraskan fakta, integriti dan tanggungjawab demi kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO