Ahmad Zahid Tegaskan Keperluan RUU Jenayah Siber 2026 Tangani Ancaman Digital

KUALA LUMPUR, 25 Jun — Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan keperluan Malaysia mempunyai kerangka perundangan yang lebih kukuh bagi menangani ancaman jenayah siber yang semakin kompleks menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Jenayah Siber 2026.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan dalam sesi taklimat bersama Ahli-Ahli Kelab Penyokong Kerajaan MADANI (Backbenchers Club) di Parlimen hari ini.

Menurut beliau yang juga Presiden UMNO, jenayah siber pada masa kini tidak lagi terhad kepada pencerobohan sistem komputer semata-mata, sebaliknya merangkumi pelbagai bentuk ancaman termasuk penipuan dalam talian, kecurian identiti, serangan ransomware serta penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).

“Ancaman jenayah siber kini semakin membimbangkan dan memerlukan pendekatan yang lebih menyeluruh serta perundangan yang relevan bagi melindungi rakyat dan negara,” katanya.

Dalam taklimat tersebut, Ahmad Zahid turut mendedahkan bahawa sebanyak 66,204 kes penipuan dalam talian direkodkan sepanjang tahun 2025 dengan jumlah kerugian hampir RM3 bilion.

Beliau berkata angka tersebut menggambarkan kesan besar jenayah digital terhadap masyarakat, termasuk rakyat yang kehilangan wang simpanan, peniaga yang menanggung kerugian serta keluarga yang menjadi mangsa penipuan dalam talian.

Sehubungan itu, beliau berharap RUU Jenayah Siber 2026 dapat dinilai berdasarkan fakta, keperluan semasa dan kepentingan jangka panjang negara.

Katanya, usaha memperkukuhkan perundangan siber adalah penting bagi memastikan Malaysia memiliki ruang siber yang lebih selamat serta mampu melindungi kepentingan rakyat dan negara pada masa hadapan.

“Keselamatan siber adalah tanggungjawab bersama dan memerlukan komitmen semua pihak bagi memastikan kesejahteraan digital negara terus terpelihara,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO