Kesatuan Dan Disiplin Kunci Kekuatan Wanita UMNO Hadapi PRN Johor
JOHOR BAHRU, 25 Jun – Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yakin Wanita UMNO Johor akan terus memainkan peranan penting dalam membantu memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) di negeri ini menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Keyakinan itu disuarakan beliau ketika menghadiri Mesyuarat Khas Wanita UMNO Negeri Johor yang menghimpunkan kepimpinan Wanita UMNO Bahagian-bahagian dari seluruh negeri bagi membincangkan persiapan dan gerak kerja parti menghadapi pilihan raya.

Menurut beliau, kekuatan sebenar jentera Wanita UMNO terletak pada kesatuan yang utuh, disiplin yang tinggi serta semangat kerja berpasukan yang sentiasa menjadi tunjang perjuangan parti.
“Dengan kesatuan, disiplin dan kerja berpasukan yang kukuh, saya yakin Wanita UMNO Johor akan terus memainkan peranan penting dalam membantu memastikan kemenangan Barisan Nasional di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata, perbincangan yang berlangsung turut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan organisasi, menyelaras gerak kerja serta menilai tahap kesiapsiagaan jentera wanita bagi memastikan agenda dan mesej parti dapat disampaikan secara berkesan kepada rakyat.
Tambah beliau, Wanita UMNO mempunyai tanggungjawab besar dalam mendekati masyarakat, memahami keperluan rakyat serta menjadi penghubung antara parti dan akar umbi.
Justeru, beliau menyeru seluruh kepimpinan dan anggota Wanita UMNO Johor untuk terus memperkukuhkan perpaduan serta mengekalkan semangat kebersamaan dalam menghadapi cabaran politik semasa.
“Perjuangan ini bukan sekadar untuk menghadapi pilihan raya, tetapi merupakan amanah untuk terus berkhidmat kepada rakyat dan memastikan masa depan Johor terus terpelihara dengan baik,” ujarnya.
Beliau percaya komitmen serta kesungguhan seluruh jentera Wanita UMNO akan menjadi antara faktor penting dalam memperkukuhkan sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional, sekali gus memastikan kestabilan dan kemajuan Johor dapat diteruskan. – UMNO Online
