Dr Asyraf Tolak Spekulasi, Tapisan Ketat Punca Pengumuman Calon BN Johor Lewat
JOHOR BAHRU, 25 Jun – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menolak pelbagai spekulasi yang timbul berhubung kelewatan pengumuman calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dijadualkan pada pukul 3 petang sebelum ditangguhkan ke pukul 4.30 petang semalam.
Menurut beliau, kelewatan tersebut bukan berpunca daripada sebarang masalah dalaman parti, sebaliknya disebabkan proses tapisan dan dokumentasi yang ketat melibatkan kesemua 56 calon BN yang akan bertanding pada PRN kali ini.

“Banyak sangat andaian dan spekulasi tidak betul mengenai kelewatan pengumuman calon BN bagi Pilihan Raya Negeri Johor. Setiap calon bukan sahaja perlu berbaiah untuk kekal setia dan tidak melompat parti jika menang, malah perlu melalui tapisan ketat daripada pelbagai agensi,” katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau menjelaskan setiap calon perlu menjalani semakan menyeluruh meliputi aspek kebankrapan, rekod jenayah, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Jabatan Agama Islam bagi memastikan mereka bebas daripada sebarang isu yang boleh menjejaskan integriti parti.
Selain itu katanya, calon-calon juga diwajibkan menandatangani beberapa dokumen perjanjian dan kontrak di hadapan peguam serta Pesuruhjaya Sumpah.
“Proses yang bermula pada pukul 10.30 pagi dan dijangka selesai pada 2.30 petang berlanjutan sehingga pukul 4 petang kerana melibatkan 56 calon Barisan Nasional,” jelas beliau.
Beliau turut memohon maaf kepada para penyokong, jentera parti dan rakan media yang terpaksa menunggu lebih lama untuk mendengar pengumuman rasmi calon oleh Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
“Bagi pihak UMNO dan Barisan Nasional, saya mohon maaf kepada semua penyokong, jentera parti dan rakan-rakan media yang terpaksa menunggu lama. Moga Allah memberikan kemenangan kepada semua calon Barisan Nasional demi kesejahteraan rakyat Johor,” katanya lagi.
Semalam, seramai 56 calon BN telah diumumkan oleh Onn Hafiz menjelangnya hari penamaan calon pada 27 Jun ini dengan hari pengundian pada 11 JJulai depan. – UMNO Online
