BN Johor Kekal Pendirian, Fokus Kestabilan Demi Rakyat – Onn Hafiz

JOHOR BAHRU, 24 Jun – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan bahawa Barisan Nasional (BN) akan terus memimpin demi Bangsa Johor dengan berpegang teguh kepada prinsip perjuangan yang mengutamakan kepentingan rakyat dan masa depan negeri.

Beliau yang juga Menteri Besar Johor berkata, BN Johor tidak akan berganjak daripada pendirian tersebut walaupun berdepan pelbagai serangan dan tuduhan daripada pihak tertentu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Kita telah berdepan dengan pelbagai serangan dan tuduhan hanya kerana BN menyatakan pendirian untuk terus memimpin demi Bangsa Johor. Walau apa jua cabaran yang bakal ditempuhi, pendirian ini akan terus kekal dan tidak berubah.

“Sekiranya diizinkan Allah SWT dan rakyat memberikan kepercayaan kepada BN untuk terus menerajui negeri ini, BN Johor tidak akan membentuk kerajaan gabungan dengan mana-mana parti politik di Johor,” katanya ketika mengumumkan calon-calon BN bagi PRN Johor, hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Ahmad Maslan; Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong; Ketua Wanita BN, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Ketua Pemuda BN, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh; Ketua Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi; Friends of BN serta ribuan penyokong parti.

Onn Hafiz turut merakamkan penghargaan kepada seluruh kepimpinan dan komponen BN Johor atas kesefahaman serta kerjasama erat yang telah ditunjukkan dalam memperkukuhkan jentera parti menghadapi pilihan raya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua calon yang dipilih bahawa pencalonan yang diberikan bukanlah satu keistimewaan atau hadiah, sebaliknya amanah besar yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab.

“Ingatlah bahawa pencalonan ini adalah amanah dan tanggungjawab yang sangat besar. Setiap calon membawa harapan parti serta rakyat yang mahu melihat Johor terus maju dan stabil.

“Berkempenlah dengan penuh adab, tertib dan kebijaksanaan. Hanya di Johor, kita ada cara kita sendiri yang sentiasa mengutamakan keharmonian dan kematangan politik,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kestabilan politik dan pentadbiran yang kukuh merupakan faktor penting dalam memastikan segala perancangan pembangunan dapat dilaksanakan dengan berkesan demi kesejahteraan rakyat.

“Marilah kita menawarkan kepada rakyat sebuah kerajaan yang stabil, jelas prinsipnya, jelas visinya, tersusun pentadbirannya dan mampu meneruskan agenda Maju Johor.

“BN tidak menjanjikan bulan dan bintang, dan tidak menjanjikan perjalanan yang mudah. Namun, BN Johor akan terus bekerja keras, bertungkus-lumus dan berusaha sedaya upaya untuk membangunkan negeri ini serta memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara,” katanya.

Beliau berkata, dengan pengalaman, rekod pentadbiran serta komitmen yang telah dibuktikan sebelum ini, BN Johor yakin mampu terus membawa negeri tersebut ke arah kemajuan yang lebih cemerlang dan mampan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO