Pemuda UMNO Tebrau Perkukuh Gerak Kerja, Buka Ruang Anak Muda Sertai Jentera PRN Johor
TEBRAU, 24 Jun – Pemuda UMNO Bahagian Tebrau terus memperkukuhkan gerak kerja menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan pelbagai pendekatan yang lebih segar dan inklusif bagi mendekati golongan muda.
Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Tebrau, Syahmi Ahmadi berkata, pihaknya telah menyusun pelbagai program dan aktiviti termasuk pengukuhan media sosial, penganjuran speaker corner, sesi walkabout serta gerak gempur bagi memastikan mesej dan agenda perjuangan dapat disampaikan secara berkesan kepada masyarakat.

Menurut beliau, Pemuda UMNO Tebrau bukan sahaja mengalu-alukan penyertaan ahli UMNO dan Pemuda parti, malah turut membuka ruang kepada golongan belia, mahasiswa serta anak muda yang bersifat non-partisan untuk bersama-sama menimba pengalaman dan meraikan proses demokrasi di negeri Johor.
“Pendekatan kita adalah lebih terbuka. Kita tidak mahu terlalu sempit dengan kelompok sendiri sahaja. Anak-anak muda daripada pelbagai latar belakang sama ada pelajar, penggiat sukan, komuniti belia dan pelbagai kumpulan masyarakat sentiasa dialu-alukan untuk bersama-sama membantu jentera,” katanya kepada UMNO Online.
Beliau berkata demikian ketika mengulas persiapan Pemuda UMNO Bahagian Tebrau dalam menghadapi PRN Johor.
Syahmi turut memaklumkan bahawa sambutan daripada golongan muda di kawasan Tebrau amat memberangsangkan apabila ramai tampil menawarkan diri untuk membantu gerak kerja parti.
“Di bawah pelbagai platform belia dan mahasiswa yang bersama kita, sambutan yang diterima sangat positif. Malah, pasukan gerak kerja anak muda telah bersedia lebih awal dan kini hanya menunggu penyusunan tugas yang lebih khusus bagi memastikan operasi berjalan lancar,” ujarnya.
Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang melibatkan 56 kerusi pada 1 Jun lalu membuka tirai kepada proses demokrasi yang akan menentukan hala tuju pentadbiran negeri bagi tempoh lima tahun akan datang.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 12 Jun menetapkan hari penamaan calon pada 27 Jun 2026, manakala pengundian awal akan berlangsung pada 7 Julai dan pengundian pada 11 Julai. – UMNO Online
